Pakatan ugut tarik sokongan kerana takut berdepan pengundi, kata Khaled


Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan bubar DUN Johor terpulang kepada kerajaan negeri dan pihak istana. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2022.

MOHAMED Khaled Nordin berkata ancaman Amanah untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan persekutuan jika pilihan raya negeri (PRN) diadakan di Johor adalah kerana ia takut berdepan pengundi.

Naib presiden Umno itu berkata Pakatan Harapan (PH), yang dianggotai Amanah, mengalami kekalahan dalam pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak baru-baru ini.

“Sama ada perlu atau tidak PRN Johor adalah sesuatu yang terpulang kepada budi bicara Kerajaan Negeri Johor dan Istana Johor. Segala ugutan dan ancaman dari PH bukan faktor penentu untuk membubar DUN.

“Dan jika PH menarik sokongan terhadap perdana menteri, Barisan Nasional (BN) akan bersedia untuk menghadapi PRU dan membentuk kerajaan baru tanpa perlu sokongan PH insyallah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan khabar angin yang Johor mungkin akan mengadakan PRN, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub semalam berkata Putrajaya sepatutnya membubarkan sahaja Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata Amanah akan menarik diri daripada persefahaman politiknya dengan kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob jika pilihan raya awal diadakan di Johor.

“Jadi, jangan main-main dengan sokongan yang kita berikan. Kami betul-betul ikhlas dan kami buat apa yang kami katakan. Sampai hari ini, kita tidak ada apa-apa main politik,” kata Salahuddin dipetik portal berita Free Malaysia Today.

Salahuddin, yang merupakan ahli Parlimen Pulai dan Adun Simpang Jeram, berkata PH telah menyokong kerajaan Johor, memberikan sokongannya apabila ia melibatkan bajet tahunan negeri dan pelbagai rang undang-undang.

Bekas menteri besar Johor itu berkata ugutan Amanh adalah alasan sahaja untuk PRN dan persekutuan diadakan segera.

Beliau berkata tiada kerajaan yang tidak boleh diganggu gugat oleh pesaing politiknya sepanjang masa.

Khaled berkata menggesa PRN bukanlah satu tindakan tidak bertanggungjawab tetapi keputusan yang bertanggungjawab.

“Kita mesti mengembalikan mandat kepada rakyat apabila kerajaan berada dalam kedudukan yang terlalu rapuh dan tidak stabil. Bukannya terus menerus berkeras bahawa kita mempunyai kuasa apalagi bila terpaksa meminta sokongan pembangkang,” katanya.

Khabar angin pilihan raya DUN Johor bermula sejurus selepas kematian Adun Kempas Osman Sapian daripada Perikatan Nasional (PN) pada 21 Disember.

Kerajaan Johor yang terdiri daripada BN dan PN, kini mempunyai majoriti satu kerusi dalam DUN, dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi PH. – 16 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen