PAS mahu tubuh Kabinet berbeza untuk Islam, bukan Islam


Chan Kok Leong

Hadi Awang hari ini mengatakan jika PAS memerintah akan ada dua Kabinet. Salah satunya boleh dianggotai oleh orang bukan Islam. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 4 Februari, 2018.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, setiap kaum akan diberi peranan tersendiri dalam pentadbiran PAS jika parti Islam itu berjaya membentuk kerajaan persekutuan.

Kenyataannya hari ini berbeza dengan pendiriannya bulan lepas, yang menegaskan bahawa PAS mahu kerajaan diterajui orang Melayu-Islam sahaja.

Hari ini, beliau berkata PAS bercita-cita untuk menubuhkan dua Kabinet berbeza dalam pentadbiran kerajaan.

“Jika PAS memerintah, ia akan terbahagi kepada dua – (satu), Kabinet yang buat keputusan tentang dasar negara. Ini perlu terdiri daripada mereka yang memeluk ideologi dan kepercayaan nasional.

“Kabinet itu akan melantik Kabinet Eksekutif yang akan melaksanakan dasar dan ahlinya boleh terdiri daripada orang bukan Islam, dilantik berdasarkan kepakaran mereka,” kata ahli Parlimen Marang itu ketika berucap dalam program dialog bersama NGO India di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.

Kumpulan kedua pula adalah teknokrat yang akan melaksanakan dasar kerajaan, katanya.

“Teknokrat ini boleh dari Parlimen atau sektor swasta,” kata Hadi.

Hadi mengatakan Islam masih membenarkan orang bukan Islam berada dalam Kabinet walaupun Malaysia adalah negara majoriti Islam.

“Ini berbeza dengan demokrasi barat di mana jika Demokrat menang pilihan raya, Kabinet dan pegawai kerajaan hanyalah ahli Demokrat. Begitu juga dengan kerajaan parti Konservatif, Republikan atau Buruh.”

Dalam sesi soal jawab, Hadi mengatakan kaum India tidak akan dipinggirkan daripada Kabinet PAS.

“Orang India adalah kumpulan etnik terbesar selepas orang Cina. Jika kita perintah negara, ia perlu melibatkan kaum lain. Kerajaan tidak boleh terdiri daripada PAS sahaja.

“Ini sangat penting dalam eksekutif. Kita perlu menghormati kepakaran semua kaum.”

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Mohan Apparoo dari Pembangunan Ekonomi Global India Malaysia sama ada terdapat peranan untuk orang India dalam Kabinet Persekutuan PAS.

Hudud tetap akan diteruskan

Pada sesi soal jawab yang meriah itu, Hadi juga ditanya sama ada kerajaan PAS-Umno akan melaksanakan Hudud dan mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Islam.

Bagaimanapun, Hadi tidak menjawab soalan itu secara langsung sebaliknya menjelaskan tentang manfaat hudud.

“Jika ada hudud, ia akan mengikuti apa yang sudah tersedia dalam Perlembagaan Persekutuan atau enakmen negeri. Tetapi orang bukan Islam akan diberikan pilihan sama ada untuk berada bawah hudud atau undang-undang sivil,” kata Hadi.

Katanya lagi, peraturan hudud adalah adil saksama dan rakyat akan memilihnya berbanding undang-undang sivil jika mereka lebih memahaminya.

“Hudud tidak mahu menghukum. Ia mahu mendidik dengan cara mewujudkan ketakutan kepada orang sebelum mereka buat jenayah.”

Ditanya jika PAS akan melaksanakan negeri Islam, Hadi berkata ia bergantung kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam Perlembagaan, Islam adalah rasmi Persekutuan sementara agama lain bebas (diamalkan). Kerana itu, kita perlu menafsirkan Islam daripada sudut pandang Perlembagaan.

“Kita akan kaji perkara ini lebih lagi. Apa yang lebih penting bukanlah sama ada kita umum atau tidak tetapi dasar adil yang akan dilaksanakan,” kata pemimpin berusia 70 tahun itu.

Timbalan Pengerusi Hindu Sangam Pulau Pinang G Munisaran bertanya kepada Hadi mengenai pengenalan kelas agama untuk bukan Islam, penaik tarafan sekolah rendah Tamil kepada sekolah menengah serta penghakiman bersejarah Mahkamah Persekutuan dalam kes M. Indira Ghandi yang membolehkan penukaran agama tanpa persetujuan bersama ibu bapa tidak sah dan terbatal.

Hadi berkata PAS tidak mempunyai masalah dengan pendidikan vernakular dan ia akan dibenarkan. Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada pendidikan sekolah vernakular menengah akan diteruskan.

Mengenai kes Indira Ghandi, Hadi berkata ada dua aliran mazhab- Maliki dan Hanafi.

“Seorang anak beragama Islam boleh diberikan kepada ibu bukan Islam selagi mana ada penyeliaan mencukupi oleh kerajaan bagi memastikan anak itu dibesarkan sebagai orang Islam. Anak itu perlu diajar tentang halal haram mengikut Islam,” kata Hadi.

“Jadi dalam konteks kes ini, Perlembagaan dan undang-undang negara perlu diharmonikan dan ibu bapa Islam dan bukan Islam perlu diajak berdialog bagi menentukan yang terbaik,” tambahnya.

Selepas majlis itu, Munisaran yang bertanyakan soalan itu mengatakan beliau tidak meyakini jawapan Hadi.

“Saya tak dapat jawapan sebenar untuk soalan saya tentang hudud dan Indira Ghandi. Selepas kes mahkamah berlanjutan selama sembilan tahun, dia masih berdepan tekanan dan ugutan yang kes itu akan disemak sekali lagi,” kata Munisaran.

“Untuk isu hudud pula, kami hanya boleh terima janjinya yang bukan Islam tak akan dipaksa. Tetapi ia sukar,” tambahnya.

Sesi dialog itu dihadiri puluhan NGO masyarakat India dan disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebook PAS Pulau Pinang.

Ini adalah cubaan pertama PAS untuk mendekati masyarakat bukan Islam selepas berpisah daripada gabungan pembangkang sebelum ini, Pakatan Rakyat. – 4 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Cadangan ini seperti zaman colonial dimana British bahagi dan perintah, cuma suatu golongan elite yang berkuasa. Malaysia kini democratic, rakyat yg perintah. Cara Hadi ini sudah lama dan tidak boleh dipakai lagi.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan