Dzulkefly saman Najib isu tuduhan nepotisme, kronisme


Bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad fail tuntutan saman fitnah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak susulan tuduhannya yang dimuat naik di Facebook pada 24 Ogos, 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2021.

BEKAS menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak susulan tuduhannya berkenaan nepotisme dan kronisme.

Dzulkefly memfailkan penyata tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, dilampirkan bersama satu hantaran di Facebook dimuat naik oleh Najib pada 24 Ogos, 2020 bersama artikel Sinar Harian bertarikh 28 Januari, 2019 sebagai bukti.

Dalam hantaran itu, Najib mengecam gabungan Pakatan Harapan (PH), khususnya Dzulkefly dan anak perempuannya Nurul Iman.

“Rakyat perlu tahu yang nepotisme, kronisme dan pelantikan politik hanya berlaku dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Ia tak berlaku dalam kerajaan gagalkrasi PH dulu walaupun isteri kepada setiausaha politik perdana menteri ketujuh dilantik pengerusi lembaga pengarah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) manakala anak menteri PH dilantik menjadi ahli lembaga pengarah.

“Alasan diberi PH kenapa isteri dan anak dilantik ialah mereka layak kerana mereka ada pengalaman meniaga.

“PH juga tak ganggu institusi utama negara walaupun peguam swasta kepada akauntan gagal DAP dilantik peguam negara manakala pemimpin parti politik Amanah dilantik speaker Parlimen dan pemimpin PKR dilantik ketua pesuruhjaya SPRM.

“PH buat tak apa. Jangan orang lain buat,” kata Najib di Facebook itu, yang dikongsi hampir 1,000 kali dan menarit ratusan komen.

Dzulkefly menyifatkan hantaran itu bermotivasikan kepentingan peribadi dan menyerahkan dokumen kepada mahkamah.

Beliau nmendakwa Najib menyebabkan reputasinya terjejas sebagai ahli politik dan bekas menteri yang mempunyai rekod bersih, menambah beliau menjadi sasaran mesej kebencian dan hinaan.

Pada awalnya, bekas menteri itu hanya menuntut hantaran itu ditarik balik, permohonan maaf dan pampasan ganti rugi RM1 juta, tetapi Najib enggan berbuat demikian.

Kini, dengan tindakan di mahkamah sedang dalam proses, tuntutan ganti rugi difailkan Dzulkefly ialah RM5 juta. – 1 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen