Kita lawan BN, bukan sesama Pakatan, kata Mat Sabu


Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata semua parti hendaklah mengelak daripada mengeluarkan kenyataan secara terbuka berkenaan rundingan kerusi di Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Februari, 2018.

PERBINCANGAN agihan kerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor perlu diadakan secara musyawarah dan tertutup, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu ketika keadaan semakin tegang dalam kalangan parti komponen pembangkang itu.

Saya mengharapkan perbincangan di antara parti-parti dalam Pakatan Harapan dibuat secara musyawarah dan tertutup.

“Semua parti hendaklah mengelak daripada mengeluarkan kenyataan secara terbuka sama ada kepada media mahupun di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad berkata penyelesaian terbaik ialah dengan melakukannya secara dalaman di meja rundingan dan semua parti dalam PH perlu ingat bahawa fokus sebenar ialah menewaskan Barisan Nasional (BN) bukan bergaduh sesama sendiri.

“Saya yakin dan percaya, sikap sabar, saling hormat menghormati dan penuh kebijaksanaan akan memudahkan proses untuk kita mencapai kejayaan dalam mendepani musuh bersama kita, kerajaan kleptokrat BN. Musuh sebenar kita Umno/BN,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Selangor Azmin Ali secara terbuka menuduh Amanah menipu berkenaan rundingan kerusi selepas parti itu mendakwa tiada perbincangan rasmi diadakan di negeri itu, walaupun tarikh akhir yang ditetapkan ialah 31 Januari.

Azmin berkata rundingan sudah diadakan empat kali dan Jawatankuasa Pilihan Raya PH ditukar nama kepada jawatankuasa rundingan kerusi.

Pengarah Komunikasi Amanah Selangor Jamzuri Ardani pula berkata mandat yang diberikan kepada jawatankuasa itu untuk menjalankan rundingan agihan kerusi di Selangor sepatutnya datang daripada kepimpinan tertinggi, bukan daripada mana-mana parti.

“Perbincangan ini belum diputuskan di mana-mana mesyuarat pun. Tanpa mandat yang jelas, perbincangan itu buang masa kerana ia akan dipersoalkan lagi. Untuk itu, Amanah membangkitkan isu mandat,” kata Jamzuri dalam satu kenyataan.

Jamzuri berkata beliau bukan mahu bercanggah dengan Azmin atau kenyataannya tetapi parti lain dalam PH juga keliru tentang rundingan kerusi itu.

“Kami merujuk perkara ini kepada parti dalam PH dan mereka juga keliru jawatankuasa mana yang diberikan mandat untuk melakukan rundingan kerusi.

“Ini bukan tentang ambil kerusi, tetapi mengenai proses rundingan yang lebih baik.”

Jamzuri berkata Amanah tidak berniat untuk menyerang sekutunya sendiri, menambah kenyataannya itu disokong oleh Pengerusi DAP Selangor Tony Pua yang juga mendakwa tidak tahu tentang rundingan kerusi itu.

Azmin, yang juga pengarah pilihan raya PH berkata jawatankuasa yang ada akan kekal hanya bertukar nama saja.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad, yang baru-baru ini berkata gabungan itu menubuhkan jawatankuasa khas membincangkan agihan kerusi di Selangor.

Perundingan kerusi di Selangor bermasalah apabila PKR mahu bertanding kesemua 21 kerusi yang ditandinginya dalam PRU13 ditambah dengan 10 lagi kerusi yang dimenangi oleh PAS sekarang.

Sedangkan di kalangan Amanah, DAP dan Bersatu sudah dicapai kata sepakat tentang cara pembahagian kerusi itu.

Dalam pembahagian itu, kesemua 20 kerusi yang ditandingi oleh PAS dalam PRU13 akan dikongsi antara Amanah dan Bersatu, manakala DAP akan kekal di 15 kerusi yang ditandinginya sebelum ini.

Dalam 56 kerusi DUN di Selangor, DAP memegang 14 kerusi, PAS (13), PKR (13), Amanah (2), sementara bekas menteri besar Khalid Ibrahim dan seorang lagi bebas. BN mempunyai 12 kerusi. – 3 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen