Banjir: Penguasa gagal, agamawan penghukum, dan kemanusiaan rakyat


Mohd Syazreen Abdullah

DALAM pandang teologi, di sebalik musibah tersembunyi kerahsiaan Allah. Suatu misteri. Payah digambarkan. Betapa pun pahit untuk menerima, ia lambang kasih dan rahmat Allah kepada hambaNya. 

Dari pandang hukum alam, ia tanda kegagalan manusia terhadap alam. Penguasa rakus mengurus alam. Pentadbiran tidak kompeten, lembab dan gagal berfungsi.

Namun di sebalik kesedihan ujian ini, ia mendewasakan kerohanian dan mematangkan fikiran serta memugarkan kemanusiaan.

Kita sedang diuji musibah bencana banjir khususnya di Lembah Klang, Selangor.

Rentetan itu, banjir korbankan banyak nyawa. Kehilangan orang tersayang dan harta paling disayangi sekelip mata.

Apakah semua ini menginsafkan penguasa? Tidak. Penguasa tidak pernah insaf.

Justeru, kita rasa marah, geram dan sedih pilu terhadap musibah melanda. Kita kecewa penguasa lambat membantu mangsa banjir.

Penguasa gagal bertindak saat rakyat perlukan bantuan. 

Kita benci orang-orang agama celupar menghukum musibah konon tanda murka Tuhan.

Akhirnya sebahagian orang Islam bermudah-mudah mengatakan musibah banjir ini akibat banyaknya maksiat di Selangor.  

Sebenarnya logika sebegini salah. 

Apakah musibah di pantai timur itu saban tahun kerana maksiat?

Apakah musibah tsunami di Aceh pada hujung 2014 yang dianggap kuat pegangan syiar agama itu juga kerana maksiat?

Benar, manusia tidak dapat menghindari musibah alam daripada kecelakaan perbuatan tangan manusia itu sendiri.

Namun kita harus memahami hukum alam bagi mengatasi sesuatu lebih teruk terjadi musibah.

Sekiranya berlaku, sama ada kita beriman atau tidak, ia tetap akan menimpa kepada sesiapa pun.

Jelas, ia bukan soal siapa paling dosa dan banyak maksiat, maka musibah terjadi ke atasnya. Sebaliknya ia soal kegagalan urus tadbir penguasa.

Tambahan ia soal kerakusan dan korupsi sebahagian manusia yang harus diatasi dengan dokongan kemanusian sejagat. Ia harus dipulihkan dengan cinta, kasih sayang, kebajikan dan kemakmuran.

Maka itu, para agamawan harus kritikal melihat dimensi musibah ini.

Banjir bukan soal perdebatan teologi yang mudah-mudah menghakimi orang yang ditimpa bencana.

Sebaliknya agamawan harus berani lempar teguran sikap korupsi penguasa terhadap alam.

Namun di celah kegelapan dan kekecewaan terhadap penguasa dan orang-orang agama itu muncul sinar cahaya kemanusiaan yang memercik daripada rakyat kepada rakyat.

Manusia yang mempunyai hati yang bersih. Tidak jemu hulurkan tangan membantu orang dalam kesusahan.

Baginya, kemanusiaan segala-galanya tanpa mengenal bangsa, kaum dan agama.

Jadilah manusia yang berlumba-lumba pada kebaikan. Jiwanya penuh cinta kemanusiaan. Punya rasa empati terhadap kesusahan orang. Inilah jiwa ikutan para nabi dituntut dalam agama. 

Jiwa yang hidup dengan semangat kemanusiaan dengan menolong kesusahan orang dan memenuhi hak orang lemah – kemanusiaan.

Justeru, jangan menghukum saat saudara kita dalam kesusahan.

Orang-orang yang melakukan tuduhan itu mungkin lupa sikap empati. Jiwanya jauh daripada kemanusiaan. Lebih teruk lagi menghukum atas nama agama. 

Betapa jijik perilaku seperti ini ketika seseorang dalam kesusahan difitnah sebegitu. Hormatilah kesusahan orang!

Jika tidak mampu bantu ringankan beban, tidak usah sembur kata-kata sebegitu. Tambahan menggunakan hujah tidak logik dan salah tafsiran agama.

Mujur Tuhan kirimkan rahmatNya. Tuhan menghantar orang-orang baik di kala kita tidak punya lagi harapan terhadap penguasa dan orang-orang agama yang menghukum. 

Tuhan hantarkan rakyat yang mempunyai semangat menolong dan jiwa kemanusiaan tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. Berpusu-pusu manusia keluar tolong menolong dalam kesusahan. 

Mereka menolong tanpa mengenal agama apa pun. Mereka masak, sediakan tempat ibadah dan beri makanan kepada orang dalam kesusahan.

Bangsa Melayu, Cina, India, dan lain-lain bersatu dalam kebajikan. Agama Islam, Kristian, Hindu, Buddha, dan lain-lain bersatu demi kemanusiaan.

Kita tidak perlu lagi hidup bersama orang agama yang rasis dan buruk sangka. Yang tidak punya semangat kemanusiaan. Pemimpin yang lembab dan gelap hati.

Kita bangkit dengan semangat kemanusiaan dari rakyat.

Inilah semangat kemanusiaan dan kebajikan disebut dalam al-Quran.

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) serta pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (al-Maidah, ayat 2) 

Sikap kebajikan terpuji ini disebutkan dalam al-Quran sebagai semangat menolong orang lemah: “pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta (Sa’il ) dan orang miskin yang tertahan (tidak mendapat bagian) (al-mahrum)”. (Dzariat ayat 19).

Sa’il ditafsirkan sebagai orang yang meminta. Manakala al-mahrum, adalah orang yang memerlukan tetapi tidak meminta. Kedua-duanya orang-orang dalam kesusahan. Kedua-dua golongan ini harus dibantu. 

Dalam konteks musibah banjir hari ini, perkataan al-mahrum itu lebih tepat dimaknai khususnya orang-orang dalam kesusahan yang harus dibantu akibat musibah menimpa kepadanya. 

Hal ini disebut al-Qurtubi, dalam kitabnya al-jami lil ahkamul Quran sekali gus menandakan bahawa ia semangat kemanusiaan harus diraikan semua agama apa pun dalam urusan kebaikan.

Apatah lagi ketika musibah, agama seharusnya menjadi sumber kebaikan dan kesatuan. Bukan perpecahan dan sangkaan-sangkatan jahat.

Malulah wahai penguasa yang lemah dan agamawan penghukum. 

Kita tidak perlukan kelompok ini yang hanya menambah kecelakaan musibah. Sedangkan dalam kesusahan ini semua orang tanpa agama sekali pun bersatu hati dan sehingga pertaruh nyawa demi keselamatan dan kemanusiaan.

Berhenti jadi penghukum. Tanamkan sifat empati dan tolong menolong. Turun dan bantu semampunya demi cinta kemanusiaan sejagat.

Sesungguhnya rakyat tabah menghadap ujian ini dan bangkit dengan limpahan semangat kemanusiaan! – 24 Disember, 2021.     

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen