Baja, jagung dicadang masuk senarai barangan kawalan


Baja dan jagung antara empat barangan dicadang sebagai barangan kawalan dalam usaha kerajaan mengawal kenaikan harga keperluan asas di pasaran kini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2021.

BAJA dan jagung antara empat barangan dicadang sebagai barangan kawalan dalam usaha kerajaan mengawal kenaikan harga keperluan asas di pasaran kini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Dr Chong Fat Full berkata dua barangan iaitu kacang soya dan racun, turut dicadang dimasukkan sebagai barangan kawalan.

Beliau berkata cadangan itu adalah hasil mesyuarat bersama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna KPDNHEP Johor, yang turut meneliti faktor-faktor kenaikan harga barangan keperluan asas, semalam.

Beliau menambah antara faktor-faktor kenaikan barangan keperluan asas yang dapat dikenal pasti, turut dipengaruhi oleh harga empat barangan itu.

“Macam kadar tukaran mata wang asing, kita tak dapat kawal, tetapi apa yang kita boleh kawal ialah barangan masuk ke negara kita, macam kos baja dan seumpamanya.

“Buat masa ini, (pemantauan dan penguatkuasaan) seluruh rantaian belum lagi sempurna (sebab faktor-faktor luar kawalan seperti ini),” kata Dr Chong kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia, di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Justeru, pihaknya menerusi KPDNHEP Johor akan mengemukakan cadangan tersebut kepada pihak kementerian secepat mungkin, memandangkan ia juga meliputi bidang kuasa kementerian lain seperti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Mengenai keputusan kerajaan persekutuan untuk tidak membenarkan perarakan Chingay, beliau berkata kerajaan negeri akur dengan keputusan itu yang mengambil kira status varian baru Covid-19.

Bagaimanapun, kerajaan negeri terbuka untuk mempertimbangkan sebarang cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai berhubung perayaan Chingay, sama ada berskala kecil atau secara dalam talian atau sebaliknya. – Bernama, 8 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen