Semua pemimpin politik utama Sarawak hadapi pertembungan pelbagai penjuru


PRN Sarawak ke-12 bakal menyaksikan kesemua pemimpin politik utama negeri berdepan persaingan pelbagai penjuru di kerusi kawasan DUN masing-masing.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2021.

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 18 Disember ini bakal menyaksikan kesemua pemimpin politik utama negeri berdepan persaingan pelbagai penjuru di kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Selepas proses penamaaan calon selesai hari ini, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg merangkap ketua menteri akan menerajui gabungan empat parti untuk mempertahankan pemerintahan kerajaan negeri manakala pemimpin parti pembangkang turut berdepan dengan saingan daripada sekurang-kurangnya tiga pencabar.

Abang Johari yang juga peneraju parti gabungan GPS akan bertanding kerusi DUN Gedong untuk kali pertama dan berdepan cabaran tiga penjuru apabila ditentang calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Mohamad Sofian Fariz Sharbini, Kamal Bujang (Amanah) dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Tomson Ango.

Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Tiong King Sing, sekutu GPS, menghadapi pertandingan lapan penjuru untuk kerusi DUN Dudong yang turut melibatkan DAP, PSB, PBK, Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) dan dua calon bebas.

Calon-calon lawannya terdiri dari Paul Ling (DAP), Wong Hie Ping (PSB), Jane Lau Sung Yee (PBK), Josephine Lau Kiew Peng (Aspirasi), Julius Enchana (PBDSB), Fadhil Mohd Isa (Bebas) dan Engga Uchat (Bebas).

Di DUN Batu Kawah pula, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Sim Kui Hian menghadapi saingan empat penjuru melibatkan Fong Pau Teck daripada Aspirasi, Chai Kueh Khun (PBK) dan wakil DAP Kelvin Yii Lee Wuen.

Kerusi DUN Baleh yang sebelum ini diduduki presiden sebuah lagi parti komponen GPS, Parti Rakyat Sarawak (PRS), James Masing yang meninggal dunia 31 Oktober lalu bakal menyaksikan persaingan empat penjuru melibatkan calon parti itu, Nicholas Kudi Jantai Maseng, Kenneth Usang George (DAP), Sukarno Layau (PBK) dan Koh Kumbong (PSB) untuk kerusi itu.

Dua timbalan ketua menteri, Amar Douglas Uggah Embas dan Amar Awang Tengah Ali Hasan berdepan cabaran tiga penjuru masing-masingnya di DUN Bukit Saban dan DUN Bukit Sari.

Lawan Uggah adalah Mikail Mathew Abdullah (PKR) dan Andria Dundang @ Andria Gelayan (PSB), sementara pencabar Awang Tengah adalah Riyah Basrah (PBK) dan Alias Mail (PSB).

Bagi pemimpin pembangkang pula, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen terlibat dalam pertandingan empat penjuru melibatkan Presiden Aspirasi, Soo Lina, Wee Hong Seng (SUPP) dan Raymond Thong Ee Yu (PBK) untuk kerusi DUN Padungan.

Presiden PSB, Wong Soon Koh pula berhadapan empat pencabar di DUN Bawang Assan yang terdiri dari Robert Lau Hui Yew (SUPP), Michelle Ling Shyan Mih (PBK), Amy Lau Bik Yin (DAP) dan Ricky Enteri (Bebas). – Bernama, 6 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen