Umno tak langgar piagam, Bersatu bukan Muafakat Nasional, kata Tok Mat


Kerjasama politik Umno dan PAS membentuk Muafakat Nasional, kerjasama politik Melayu Islam terbesar dan paling berpengaruh di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2021.

MUAFAKAT Nasional (MN) dibentuk sebagai kerjasama politik untuk Umno dan PAS, dan Bersatu tidak pernah menjadi sebahagian daripada piagamnya, kata Mohamad Hasan hari ini.

Tok Mat yang juga timbalan presiden Umno itu mengingatkan ahli PAS yang MN diwujudkan untuk melawan Pakatan Harapan (PH) yang turut disertai Bersatu ketika itu, sebelum parti itu keluar untuk membentuk Perikatan Nasional yang menumbangkan kerajaan persekutuan pada 2020.

“Justeru untuk memaksa Umno menerima Bersatu adalah bercanggahan dengan semangat sebenar MN itu diasaskan. Apalagi bila mengenangkan bagaimana Bersatu bersekongkol dengan DAP dalam menentang Umno dan menumbangkan kerajaan pimpinan Umno,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Kenyataan Tok Mat itu dikeluarkan selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang menuduh Umno yang merupakan parti terbesar Melayu itu melanggar piagam MN dengan menolak kemasukan Bersatu.

Hadi mendakwa piagam yang ditandatangani partinya bersama Umno untuk membentuk MN direka untuk menerima parti lain dan kumpulan sivil yang mahu bekerja untuk masyarakat Melayu Islam.

Bagaimanapun, menurut Hadi, perjanjian itu dilanggar apabila Umno hanya mahukan MN khas untuk PAS dan bukan pihak lain.

“Umno tak boleh mengarahkan PAS kerana PAS parti tersendiri. Nak suruh PAS dengan Umno sahaja (dalam MN) tak boleh, sebab kita dah berjanji dengan parti-parti lain, kita sudah tetapkan tarikh nak berjumpa dengan Bersatu dan parti lain, bahkan nak terima Bersatu masuk MN.

“PAS terbuka tetapi malangnya dia (pimpinan Umno) nak PAS dengan Umno sahaja, jadi tak bolehlah, PAS tak boleh diarah, PAS parti tersendiri, PAS bukan di bawah BN (Barisan Nasional),” katanya, seperti dipetik Utusan Malaysia di Larut.

Mohamad dalam kenyataan hari ini mengakui yang MN perlu menjadi penaung kepada semua orang Melayu tetapi mana-mana parti politik yang berhasrat menyertai kerjasama politik itu perlu selari dengan kepentingan Umno dan PAS.

“Kerana itu Umno tidak pernah mengajak PKR, Amanah, Putra ataupun Pejuang untuk menyertai MN, walaupun mereka juga sebahagian dari ummah yang berkepentingan. Jujurnya kerana Umno tidak mahu menyinggung PAS,” kata bekas menteri besar Negeri Sembilan itu lagi.

Tambah Mohamad lagi, Umno juga terikat dengan keputusan dibuat di Perhimpunan Agungnya yang menolak kerjasama dengan Bersatu.

Katanya, PAS dan hampir seluruh Malaysia tahu dan sedar pendirian Umno dalam isu ini.

Beliau juga mengingatkan yang piagam MN adalah persefahaman tanpa ikatan dan menggesa parti Islam itu tidak bertindak drastik yang boleh menjauhkan orang Melayu daripada MN.

“MN pula tidak kita daftarkan. Sebabnya kerana Umno mahu orang Melayu melihatnya sebagai wadah untuk semua, dan bukan instrumen politik Umno dan PAS semata-mata.

“Jadi janganlah dek kerana Umno tidak mahu menerima Bersatu, MN itu PAS tinggalkan. Kepentingan orang Melayu dan Islam itu jauh lebih besar dari kepentingan Bersatu menyertai MN.

“Jadi, janganlah kita melakukan sesuatu yang akhirnya akan menjauhkan lagi orang Melayu daripada MN,” katanya.

Mohamad bagaimanapun berharap yang Hadi akan terus bersama Umno untuk meneroka pelbagai dimensi baharu bagi pembangunan pemerkasaan orang Melayu. – 5 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen