Kenapa heret PAS dalam masalah DAP, tanya Khairil Nizam kepada Guan Eng


Lim Guan Eng tidak bertanggungjawab dengan mengheret PAS ke dalam kemelut dalaman DAP, kata Ketua Penerangan parti Islam itu Khairil Nizam Khirudin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2021.

LIM Guan Eng tidak bertanggungjawab apabila mengheret PAS ke dalam masalah dalaman DAP, kata Ketua Penerangan parti Islam itu Khairil Nizam Khirudin.

Bekas ketua Pemuda PAS merujuk teguran Lim kepada Ahli Jawatankuasa DAP Johor Dr Boo Cheng Hau yang membuat kenyataan mengecam Ahli Parlimen DAP Hannah Yeoh kerana bertudung baru-baru ini.

Dalam tegurannya Lim menasihati Boo supaya tidak bersikap melampau seperti PAS.

Khairilnizam berkata kenyataan Lim tidak wajar kerana tiada pemimpin PAS yang mengkritik atau membuat apa-apa komen mengenai Yeoh dan pakaiannya bertudung semasa ke sebuah masjid di Segambut itu.

“Amat tidak bertanggungjawab sekali bagi Lim Guan Eng untuk melibatkan PAS  dalam krisis dalaman DAP.

“Adakah ini cubaan Lim Guang Eng untuk mengelirukan rakyat dan ahli DAP menjelang pemilihan pemimpin tertinggi DAP,” tanyanya dalam satu kenyataan.

Jelas Khairil Nizam, perjuangan Islam tidak sesekali menjadikan pemimpin PAS ekstremis, tidak bertolak ansur dan ketinggalan zaman.

“PAS istiqamah dalam soal prinsip tetapi anjal dalam soal pendekatan, termasuk dalam menangani hak-hak bukan Muslim di negeri-negeri milik PAS.

“Sebaliknya, DAP dengan dasar Malaysian Malaysianyalah yang selama ini ternyata ekstremis,” katanya.

DAP juga katanya sering mengganggu keharmonian kaum dan agama di Malaysia.

Boo dalam komennya yang menjadi titik polemik berkata Yeoh bertudung hanya untuk menarik sokongan Melayu dan orang Melayu tahu muslihat itu.

“Mungkin semua wakil wanita kita harus memakai tudung bukan sahaja di masjid tetapi di seluruh tempat seperti di pasar awam, gereja, sekolah dan sebagainya.

“Lebih bagus, semua orang perlu memeluk Islam. Kemudian kita akan pasti memenangi Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang. Apa kata anda semua?” katanya dalam dalam kumpulan WhatsApp pemimpin DAP, seperti dipetik Malaysiakini.

Sementara itu, mengulas kenyataan Lim semalam Boo sendiri berpendapat tindakan setiausaha agung DAP itu menyamakan komennya seperti PAS “menyimpang daripada kebenaran”.

“Isu yang dibangkit oleh saya adalah kita usah menggunakan taktik yang cetek bagi memancing undi,” katanya, dalam satu komen susulan di Facebook.

Yeoh berselendang baru-baru ini ketika hadir ke majlis hari terbuka Masjid Al-Imam Al-Ghazali di Bandar Menjalara, dalam kawasan parlimennya. – 5 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen