PM buat ugutan halus kepada Sarawak, perlu minta maaf, kata Nie Ching


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob didakwa membuat ugutan halus kepada penduduk Sarawak supaya mengundi kerajaan negeri yang sama seperti di Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2021.

UGUTAN halus Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kepada penduduk Sarawak yang projek pembangunan mungkin tidak akan dilaksanakan jika mereka mengundi kerajaan negeri yang tidak diterima kerajaan persekutuan tidak boleh diterima dan dimaafkan, kata Teo Nie Ching.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata mesej halus kepada pengundi itu bercanggah dengan slogan Keluarga Malaysia yang dijunjung Ismail.

“Bagaimana boleh Ismail Sabri mendakwa (dirinya) sebagai perdana menteri untuk Keluarga Malaysia apabila projek pembangunan hanya akan diluluskan untuk Sarawak jika kerajaan negeri sama seperti di kerajaan pusat?

“Adakah Ismail Sabri berkata dan mengakui yang beliau tidak berlaku adil malah meminggirkan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dalam Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 kerana negeri ini mempunyai pentadbiran yang berbeza daripada kerajaan pusat?”soalnya lagi.

Tambahnya, mesej Ismail Sabri itu serupa dengan mesej dikeluarkan Najib Razak ketika menjadi perdana menteri pada Pilihan Raya Kecil Sibu 2010 yang pengundi akan hanya menerima manfaat sekiranya mereka memilih calon Barisan Nasional.

“Awak tolong saya, saya tolong awak” katanya dipetik berkata ketika berkempen di Sibu.

“Daripada 2010 hingga 2021, berapa lama lagi rakyat Malaysia, terutama penduduk Sarawak perlu berdepan dengan ancaman dan ugutan sebegini?

“Ismail Sabri perlu menarik balik kenyataan itu dan meminta maaf, jika tidak terbukti yang Keluarga Malaysia hanyalah slogan kosong.

“Apa yang kita ada di Malaysia di bawah pentadbiran Ismail Sabri adalah ‘Keluarga Ismail Sabri dan gengnya’,” katanya.

Semalam, Ismail Sabri dilaporkan berkata yang penduduk Sarawak perlu membuat pilihan tepat pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 bagi memastikan hubungan baik kerajaan negeri dan persekutuan.

“Tapi orang Sarawak membuat pilihan yang tepat apabila memilih kerajaan negeri yang sama (pada PRN-11).

“Dan saya lebih senang dan lebih mudah kerja saya, sebab Ketua Menteri Sarawak Abang Jo (Abang Johari Openg) adalah sahabat saya.

“Sebab itu, kali ini saya harap jangan membuat keputusan silap, banyak lagi yang hendak lulus ini tidak dapat dilaksanakan, kalau lain pemerintah negeri dengan pusat,” katanya semasa majlis pemimpin bersama rakyat di Kapit Town Square semalam. – 5 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen