PPM Wilayah 1 rampas rokok lebih RM700,000 termasuk cukai


Tiada tangkapan dilakukan di rumah itu kerana tiada berpenghuni dan mereka dipercayai sudah melarikan diri. – Gambar Facebook, 4 Disember, 2021.

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 1 berjaya merampas 6,910 karton pelbagai jenis rokok dianggarkan bernilai RM759,434.88 termasuk cukai di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Overseas Union, Jalan Klang Lama, di ibu negara petang semalam.

Komander PPM Wilayah 1 Shamsol Kassim dalam kenyataan berkata, taktik sindiket pengedaran rokok seludup menjadikan rumah teres dua tingkat itu sebagai stor transit mereka terbongkar apabila diserbu pada jam 3.30 petang namun tiada tangkapan dilakukan.

Shamsol berkata, pembongkaran aktiviti itu adalah hasil intipan PPM Pelabuhan Klang menerusi Op Contraband terhadap sebuah kereta jenis Proton Persona yang baru selesai menghantar rokok tidak bercukai di kawasan Telok Gong, Pelabuhan Klang.

Beliau berkata, pihaknya kemudian mengekori kereta itu sehingga ditemui diparkir di sebuah rumah di Taman Overseas Union, Jalan Klang Lama.

“Selepas memanggil penghuni rumah dan tidak disahut oleh mereka, pasukan serbuan bertindak memanjat pagar dan memasuki rumah yang tidak berkunci itu dan pemeriksaan dibuat yang mana tiada penghuni di dalamnya serta dipercayai mereka melarikan diri melalui pintu belakang rumah yang terbuka,” katanya.

Turut dirampas sebuah Proton Persona dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM779,434.88, kata Shamsol yang menjelaskan siasatan awal mendapati rumah itu disewa sindiket berkenaan sebagai stor transit untuk pasaran sekitar Lembah Klang berdasarkan resit yang ditemui di lokasi kejadian. – Bernama, 4 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen