PKR diberi kerusi 'kategori F' di Sarawak, kata Anwar


Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata parti itu bersetuju untuk bertanding kerana enggan membenarkan penyandang Gabungan Parti Sarawak menang tanpa bertanding.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2021.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim mengeluh bahawa parti itu telah diberikan kerusi yang sukar dimenangi pada pilihan raya negeri Sarawak pada 18 Disember.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata parti itu telah diberikan apa yang disebutnya sebagai kawasan “kategori F” oleh rakan kongsinya di negeri ini.

“Kami berebut kerusi yang boleh kami menangi, atau kategori ‘A’ (kerusi), tetapi kami diberi kerusi kategori ‘F’.

“Ada yang perlu kami ambil kerana kami mempunyai pangkalan di sana, tidak seperti parti lain, tetapi ia tidak bermakna kamu perlu bertanding di semua kerusi ini. Dan sebab itu kita kurangkan bilangan daripada 45 kerusi kepada kira-kira 29,” katanya kepada pemberita selepas majlis di kawasannya di Port Dickson hari ini.

PKR telah diperuntukkan 47 kerusi untuk bertanding di negeri itu tetapi kemudian menuntut lebih banyak kerusi yang sebahagiannya ditandingi DAP dan enggan menyerahkannya.

Selepas itu, Anwar berkata parti itu akan bertanding di kerusi lebih sedikit dan semalam PKR mengumumkan akan bertanding di 28 kerusi.

Pada pilihan raya lalu, PKR memenangi tiga kerusi tetapi berikutan kejatuhan kerajaan persekutuan PH, ketiga-tiganya meninggalkan gabungan itu - dua menyertai Parti Sarawak Bersatu manakala satu lagi menyertai Bersatu.

Anwar berkata kerusi yang lebih kompetitif dituntut dan diambil meninggalkan parti dengan sedikit pilihan selain bertanding di kerusi yang mempunyai peluang kecil untuk menang.

Beliau berkata parti itu bersetuju untuk bertanding daripada membenarkan penyandang Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang tanpa bertanding.

“Jadi, kita terbeban dengan perkara ini dan orang menganggap PKR sebagai tamak,” katanya. – 4 Disember, 2021.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen