Ku Li mahu berundur dari politik, lapor media


Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyebut faktor usia namun berkata keputusan pengundurannya nanti terserah pada pucuk pimpinan Umno.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2021.

AHLI Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mahu berundur dari politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15, lapor Free Malaysia Today.

Tengku Razaleigh, 84, adalah ahli Parlimen paling lama berkhidmat dalam sejarah negara. Beliau jadi wakil rakyat negeri di Kelantan selama sepenggal pada 1969 dan selepas itu jadi ahli Parlimen sejak 1974, semasa kerusi itu dikenali Ulu Kelantan, hingga sekarang.

Dalam wawancara dengan portal berita itu, Tengku Razaleigh menyebut faktor usia namun berkata keputusan pengundurannya nanti terserah pada pucuk pimpinan Umno.

“Saya dah banyak kali cakap perkara ini. Dua pilihan raya lalu (PRU13 dan PRU14) saya juga cakap ‘jangan pilih saya’, tetapi saya rasa kali ini ia akan berlaku. Ia bergantung kepada pucuk pimpinan parti,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata beliau bertanding juga dalam dua pilihan raya yang lepas untuk menyelamatkan kerusi Gua Musang.

“Masalah saya ialah jika saya menarik diri, kawasan Parlimen (Gua Musang) mungkin tidak lagi menjadi kerusi selamat. Itu alasan yang diberikan kepada saya sebelum ini, itu sebabnya saya perlu bertanding pada dua PRU lepas,” katanya.

Tengku Razaleigh juga percaya apabila beliau berundur nanti ramai orang dalam Umno akan berebut mahu bertanding di kerusi itu, yang dianggap selamat untuk parti itu.

“Sebenarnya, tiada kerusi yang selamat, melainkan anda mempunyai orang berpengaruh, strategi boleh diterima dan dilaksanakan, serta anda mempunyai sokongan kukuh untuk meningkatkan undi anda pada PRU.

“Tanpa itu dan perpaduan, saya rasa anda tidak boleh kata kawasan anda selamat,” katanya.

Tengku Razaleigh mewakili Gua Musang, sembilan kali atas tiket Barisan Nasional sebagai wakil Umno dan dua kali atas tiket Semangat 46.

Beliau menubuhkan Semangat 46 selepas krisis kepimpinan Umno pada lewat 1980-an. Parti itu dibubarkan dan ahli-ahlinya kembali menyertai Umno pada 1996.– 29 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen