Wan Junaidi jelas status terkini MoU Pakatan-Putrajaya


Menurut menteri undang-undang dan Parlimen Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Undi 18, daftar pemilih automatik akan dibuat sebelum 31 Disember ini manakala undang-undang antilompat parti, had jawatan PM akan dibawa ke Parlimen tahun depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2021

PELAKSANAAN Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik akan dilaksanakan sebelum 31 Disember ini, manakala perundangan berhubung antilompat parti dan pengehadan tempoh Perdana Menteri dicadang dibawa ke Parlimen sebelum Julai 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata demikian bagi menjelaskan status terkini pelaksanaan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) yang ditandatangani pada 13 September lepas.

Beliau berkata pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik itu berdasarkan keputusan Jemaah Menteri serta Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September.

“Bagi Undi 18 kita tidak ada pilihan, rang undang-undang ini mesti dilaksanakan sebelum tamatnya persidangan ini, oleh kerana hakim telah menetapkan, kalau kita tidak melaksanakan maknanya Perdana Menteri, kerajaan Malaysia akan (dianggap) menghina mahkamah,” katanya menjawab soalan Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) berhubung perkara itu di Dewan Rakyat hari ini.

Wan Junaidi berkata bagi perundangan antilompat parti dan pengehadan tempoh Perdana Menteri, ia memerlukan kajian dan sesi libat urus yang terperinci dan tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata satu perjumpaan akan diadakan bersama ketua parti pada bulan depan untuk mendapat pandangan berkaitan cadangan undang-undang antilompat parti serta untuk  memaklumkan pendirian kerajaan berkaitan undang-undang itu.

Mengenai pembaharuan Parlimen, beliau berkata Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2022 dan Rang Undang-Undang Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) (Pindaan) 2022 dijangka dibentang semasa Mesyuarat Pertama pada Mac 2022.

Selain itu, berhubung pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membolehkan Jawatankuasa Pilihan dan Jawatankuasa Pilihan Khas mengadakan mesyuarat secara terbuka dan hibrid, Wan Junaidi berkata satu Memorandum Jemaah Menteri disediakan dan sedang dalam proses mendapatkan ulasan daripada pihak berkaitan.

Ini termasuk daripada Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Kerajaan dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan.

Berhubung pindaan Perlembagaan bagi perkara-perkara di bawah bidang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau berkata bacaan pertama Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan di Dewan Rakyat dibuat pada 3 November dengan bacaan kali kedua dijadual bulan depan.

Katanya, kerajaan juga komited dalam memastikan kebebasan badan kehakiman serta transformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik. – Bernama, 25 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen