Bung Moktar dapat pelepasan sementara pasport


Bung Moktar Radin membuat permohonan pelepasan sementara pasportnya pada 2 November untuk ke Timur Tengah bagi urusan perniagaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2021.

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur memulangkan sementara pasport Bung Moktar Radin supaya beliau boleh pergi ke Timur Tengah untuk urusan perniagaan, lapor Malaysiakini.

Mahkamah membenarkan timbalan ketua menteri Sabah itu memegang pasportnya dari 10 November hingga 22 November.

Peguam Bung Teh See Khon berkata Hakim Rozina Ayub meluluskan pelepasan sementara pasport itu. Pihak pendakwaan tidak membantah permohonan Bung Moktar.

“(Permohonan adalah) Dibenarkan. Dari 10 hingga 22 November,” kata peguam itu kepada portal berita, sambil menambah ia adalah untuk tujuan perniagaan.

 Permohonan pelepasan sementara pasport itu difailkan pada 2 November oleh peguam Bung Moktar.

Pembebasan pasport Bung Moktar dibuat selepas bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya mengembalikan pasport oleh mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membolehkan kedua-duanya melawat anak perempuan mereka di Singapura. Kedua-duanya berdepan pertuduhan rasuah.

Peguam Najib, Muhamad Shafee Abdullah, yang juga menghadapi pertuduhan rasuah turut mendapat pasportnya buat sementara waktu supaya boleh menguruskan pendidikan anaknya di Parsons School of Design di New York.

Begitu juga Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang berjaya mendapatkan pasportnya buat sementara bagi membolehkan beliau mendapatkan rawatan perubatan di Jerman.

Bung Moktar, ketika menjadi pengerusi bukan eksekutif Felcra, dituduh menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui Zizie Izette.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu sebagai ganjaran kerana mendapat kelulusan menteri kewangan kedua untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa mengambil wang tunai RM262,500 daripada Madhi melalui akaun produk pelaburan bank Public Islamic Treasures Growth Fund dan didaftarkan di bawah nama Zizie Izette untuk tujuan yang sama.

Bung Moktar juga didakwa mengambil rasuah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui Public Ittikal Sequel Fund yang didaftarkan di bawah nama Zizie Izette untuk tujuan yang sama.

Pertuduhan didakwa mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – 10 November 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen