150,000 peranti di bawah Tabung Cerdik selesai diagih, kata menteri


Radzi meninjau kemasukan pelajar di IPG Kampus Pendidikan Teknik, Bandar Enstek, Nilai, hari ini. – Gambar Facebook, 7 November, 2021.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) selesai mengagihkan sejumlah 150,000 peranti di bawah Tabung Cerdik kepada pelajar yang layak menerima di seluruh negara.

Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin, berkata inisiatif itu adalah sumbangan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang diselaraskan oleh Yayasan Hasanah di bawah Khazanah Nasional.

Beliau berkata, penerima terakhir peranti itu adalah pelajar Tingkatan 3 SMK Pinji, Ipoh, Muhammad Harith Irfan Mohd Daniel Timothy pada 29 Oktober lalu.

“Yayasan Hasanah menghantar peranti berkenaan ke pejabat pendidikan daerah (PPD) di seluruh negara dan KPM berperanan membantu mengenal pasti serta mengagihkan peranti itu kepada pelajar yang layak.

“Pada peringkat awal mungkin ada sedikit kelewatan dalam konteks pengagihan peranti kerana pada waktu itu, di seluruh dunia termasuk Malaysia, bekalan peranti agak terhad berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) atau kawalan pergerakan di negara pengeluar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kemasukan pelajar di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik, Bandar Enstek, Nilai, hari ini.

Sementara itu, Radzi berkata, seramai 26,152 pelajar memasuki 27 kampus IPG di seluruh negara bermula semalam.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 16,252 pelajar tinggal di asrama dan KPM akan terus memantau kemasukan pelajar IPG bagi memastikan ia berjalan lancar. – Bernama, 7 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen