Belanjawan 2022 berbunyi perkauman, dakwa ahli Parlimen PKR


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Subang Wong Chen mendakwa pembentangan Bajet 2022 Jumaat lalu cenderung kepada agihan berdasarkan kaum, sepatutnya diagih mengikut jurang miskin dan kaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2021.

BELANJAWAN 2022 yang dibentang minggu lepas didakwa membawa mesej perkauman apabila agihan antara kaum dilihat berat sebelah dan tidak adil, kata Wong Chen.

Ahli Parlimen Subang itu berkata, kerajaan harus mengubah isi kandungan belanjawan tersebut agar dilihat lebih adil dalam pengagihan tanpa diskriminasi kaum.

“Cara pembentangan belanjawan berbunyi perkauman, adakah ini dasar tersembunyi Bera disebalik konsep Keluarga Malaysia,” kata Wong Chen, merujuk kerusi Parlimen Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Wong Chen antara lain melihat pandemik Covid-19 dan kemusnahan ekonomi yang disebabkan wabak itu tidak mengenal kaum.

Namun begitu, jurang perbezaan yang ketara dari segi agihan kepada kaum yang ditunjukkan belanjawan itu membawa sikap sebaliknya.

“Kenapa kerajaan Keluarga Malaysia keluarkan pembentangan belanjawan yang fokus dan sorotan perkauman. Melayu dan Bumiputera dapat berapa bilion, Cina dan India dapat berapa juta. 

“Ramai netizen bertanya kenapa jurangnya jauh sangat antara satu kaum dengan kaum lain,” kata Wong Chen.

Kerajaan katanya harus menggunakan fokus kepada jurang kaya dan miskin, berbanding perkauman.

“Saya nak cadang kerajaan kena bertanggungjawab, jangan main isu perkauman. 

“Tak bolehkah tukar fokus ketidaksamaan berdasarkan kaya miskin, bukan kayu ukur perkauman.

“Bukanlah logik bantuan kepada Melayu yang kaya raya seperti Syed Mokhtar Al Bukhary, tapi tidak ada dana secukupnya nak tolong mak cik Cina yang kerja basuh pinggan di kedai makan dan pemuda India yang bekerja menghantar barang,” katanya.

Belanjawan 2022 berjumlah RM332 bilion yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menyaksikan peruntukan khusus bagi komuniti Cina disediakan sekitar RM200 juta.

Dana itu adalah untuk melaksanakan program baik pulih rumah dan kemajuan kampung baru, akses pembiayaan bagi penduduk kampung baru dan Skim Pembiayaan Usahawan PKS.

Selain itu, komuniti India pula diberikan peruntukan khusus sebanyak RM145 juta disediakan untuk melaksanakan program memperkasa sosioekonomi komuniti India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India dan dana pembiayaan di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India oleh Tekun. – 2 November, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen