Penyangak dibiar bebas tetapi pencuri kecil dihukum, kata Dr Mahathir


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata mereka yang mencuri berjuta-juta masih bebas dari penjara manakala yang melakukan kecurian lebih kecil segera dihukum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2021.

DR Mahathir Mohamad menyindir Malaysia kerana menjadi sebuah negara demokrasi liberal yang membenarkan penjenayah disabitkan bersalah berjalan bebas tetapi menghukum pesalah kecil.

Menyasarkan khusus terhadap Najib Razak, bekas perdana menteri itu sekali lagi mempersoalkan kelewatan mahkamah membuat keputusan terhadap bekas perdana menteri itu.

Beliau juga berkata mereka yang mencuri berjuta-juta masih bebas dari penjara manakala yang melakukan kecurian lebih kecil segera dihukum.

“Najib Razak telah dihukum penjara dan denda kerana kesalahan money laundering.

“Kononnya kerana ia membuat rayuan hukuman tidak dilaksana. Tarikh kes rayuan ialah pada April 2021. Sepanjang masa ia bebas seperti orang yang tidak salah. Kes tidak didengar kerana bermacam alasan.

“Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib. Tetapi keputusan ditangguh. Sudah enam bulan berlalu. Mahkamah belum buat keputusan,” katanya dalam satu hantaran di laman blognya.

Beliau berkata dalam pada itu Najib bebas menghadiri persidangan Parlimen walaupun tidak dapat ke mahkamah.

“Sekarang banduan ini dibenar ke Singapura,” katanya merujuk kepada permohonan Najib yang berjaya mendapatkan semula pasportnya untuk ke negara jiran itu bagi melawat anak perempuannya yang baru melahirkan anak.

Beliau berkata Najib pasti akan membuat rayuan sekiranya keputusan Mahkamah Rayuan tidak memihak kepadanya.

“Ini juga akan ambil masa. PRU ke-15 pun sudah tiba. Najib belum disah oleh Mahkamah Persekutuan yang ia bersalah.

“Rakyat tentu berbangga. Curi 10-ringgit masuk penjara serta merta. Curi satu billion-ringgit boleh lepas dari penjara,” katanya.

Beliau berkata ramai lagi penyangak dan perasuah bebas menjelajah seluruh dunia sementara hukuman ditangguh atau pertuduhan dibatal.

“Sekali lagi dunia kagum melihat Malaysia, contoh demokrasi yang liberal di mana yang menang kalah, yang kalah menang, yang curi sedikit dipenjara, yang curi bertimbun bebas.

“Syabas Malaysia,” katanya.

Ini bukan kali pertama Dr Mahathir mempersoalkan kelewatan menghukum ahli Parlimen Pekan itu atas kesalahannya dan bagaimana dia diberikan semula pasportnya untuk melancong.

Najib semalam berkata beliau tidak mendapat layanan istimewa daripada kerajaan dan keputusan untuk melepaskan pasportnya dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim dan Mahkamah Rayuan.

Pada 28 Julai tahun lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan bekas perdana menteri itu atas kesalahan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan RM42 juta milik anak syarikat 1MDB, SRC International.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Najib sedang merayu sabitan hukuman itu dan beliau juga berdepan kes jenayah lain. – 27 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen