Rakyat Melaka mahu kerajaan stabil, mampu tingkat ekonomi


Selain kestabilan politik, rakyat Melaka mahu semua wakil rakyat jalankan tanggungjawab penuh amanah, lebih prihatin dengan nasib masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2021.

RAKYAT di negeri ini menaruh harapan tinggi agar kerajaan baharu yang akan dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November nanti adalah kerajaan stabil dan mampu meningkatkan ekonomi negeri.

Mereka juga berharap insiden tarik sokongan atau lompat parti yang berlaku sebelum ini tidak lagi berulang bagi memastikan agenda pembangunan Melaka dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.

Selain kestabilan politik, rakyat juga menuntut wakil-wakil rakyat yang akan dipilih kelak menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah serta lebih prihatin dengan nasib masyarakat dan tidak hanya bermain politik.

Pengurus sebuah pasar raya, P. Ananthan, 51, dari Batu Berendam di sini berkata dalam keadaan ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19, kerajaan baharu mestilah segera menumpukan kepada usaha membantu rakyat.

“Kita harap kerajaan negeri juga mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan selain meneruskan inisiatif bebas berniaga,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagi penggiat industri pelancongan, Sam Then Yeong Kong, 42, beliau berharap kerajaan baharu akan terus membantu pemain industri seperti syarikat pelancongan dan pengusaha inap desa dalam mempromosikan produk pelancongan negeri bagi menghidupkan kembali industri berkenaan yang suram sebelum ini ekoran Covid-19.

“Bagaimanapun semua penduduk harus keluar mengundi untuk menentukan pilihan calon masing-masing pada PRN nanti dan sudah tentunya kami mahukan wakil rakyat yang boleh membantu dan membela rakyat serta merancakkan kembali ekonomi negeri,” katanya yang juga pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh. 

Dua suri rumah V. Selvakumari, 55, dan Noradibah Mohd Shah, 35, masing-masing mengharapkan kerajaan yang akan dibentuk nanti mestilah kerajaan yang mengambil berat permasalahan rakyat dan berkemampuan menyediakan peluang untuk suri rumah menjana pendapatan selain meneruskan inisiatif sedia ada.

Penjawat awam negeri, Zaliah Masud, 51, pula berharap masalah banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri ini termasuk kawasannya di Durian Tunggal akan mendapat tumpuan serius kerajaan baharu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat Adun bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali. – Bernama, 26 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen