Perlu muzakarah isu organ babi untuk perubatan, kata bekas menteri


Bekas menteri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata usaha pemindahan organ babi kepada manusia diharuskan dibolehkan dengan syarat ia melibatkan kes darurat yang disahkan oleh pakar perubatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2021.

JAWATANKUASA muzakarah perlu membuat ketetapan dalam soal kebenaran untuk pemindahan organ babi kepada manusia untuk perubatan, kata bekas menteri Zulkifli Mohamad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejayaan pakar Amerika Syarikat yang memindahkan buah pinggang babi kepada manusia bagi kes darurat.

Bekas mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia wajar mengeluarkan pandangan dalam isu itu.

“Sesungguhnya kajian seperti ini adalah amat penting untuk menyelesaikan masalah yang kritikal pada masa kini yang terkait dengan rawatan dan perubatan,” kata Zulkifli di Facebook.

Beliau sendiri berpendapat, usaha pemindahan organ seperti itu diharuskan dibolehkan dengan syarat ia melibatkan kes darurat yang disahkan oleh pakar perubatan.

Bagaimanapun keharusan itu terbatal sekiranya terdapat alternatif lain yang halal dan lebih sesuai, katanya lagi.

“Sesungguhnya kajian seperti ini adalah amat penting untuk menyelesaikan masalah yang kritikal pada masa kini yang terkait dengan rawatan dan perubatan,” katanya.

Minggu lalu, saintis di NYU Langone Health di kota New York mengumumkan kejayaan tersebut apabila sistem imunisasi penerima tidak menolak organ babi berkenaan.

Ia diangkat sebagai kejayaan besar yang boleh membantu mengurangkan risiko kekurangan organ untuk operasi pemindahan.

Prosedur tersebut melibatkan organ dari babi dengan genetik yang sudahpun diubah, menurut laporan media yang memetik ketua kajian berkenaan Dr Robert Montgomery.

Organ buah pinggang itu dipasang ke salur darah dan diletakkan di luar badan wanita penerima tersebut untuk tempoh tiga hari bagi kajian.

Hasilnya, fungsi ginjal tersebut didapati normal dan tiada bukti organ tersebut ditolak, menurut laporan.

Babi dengan genetik yang diubah itu digelar GalSafe, yang dihasilkan sebagai makanan bagi individu dengan alahan kepada daging.

Pengkaji ini sedang meneliti sama ada organ dari babi GalSafe seperti injap jantung dan kulit boleh digunakan untuk prosedur lain bagi perubatan manusia. – 26 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen