Wisma Putra pantau perkembangan terkini di Sudan


Rakyat Sudan hari ini memprotes rampasan kuasa oleh tentera yang turut memberkas perdana menteri dan empat menteri lain berikutan ketegangan sejak penggulingan Omar al-Bashir. – Gambar EPA, 25 Oktober, 2021.

KEMENTERIAN Luar sedang memantau rapat perkembangan di Sudan, berikutan laporan pengambilalihan kerajaan oleh pihak tentera di sana.

Pada masa sama, kementerian akan terus berusaha melindungi kesemua kepentingan Malaysia di negara itu, termasuk Kompleks Petronas Sudan yang turut menempatkan kedutaan, dan Agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta pertubuhan-pertubuhan antarabangsa.

“Perkara-perkara berkenaan termasuk kebimbangan Malaysia mengenai keselamatan rakyat kita di sana telah disampaikan kepada Kuasa Usaha Sudan, yang telah dipanggil ke Wisma Putra petang ini,” menurut kenyataan Wisma Putra pada Isnin.

Menurut Kedutaan Malaysia di Khartoum, kesemua 42 rakyat Malaysia, termasuk 27 pelajar yang berdaftar dengan kedutaan dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan pegawai kedutaan sentiasa berhubung rapat dengan mereka.

Kementerian menasihatkan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular di Sudan untuk menghubungi Kedutaan Malaysia di Khartoum menerusi saluran berikut:

Kedutaan Malaysia di Khartoum : Malaysia House, House 17, Block B21, Street Khalifa Abdullah, Al Riyadh, atau menerusi talian telefon +249 99 070 0350 atau e-mail: [email protected], atau media sosial: @Malawakil.Khartoum (Facebook) @MYEmbKhartoum (Twitter).

Mereka juga boleh menghubungi Wisma Putra di talian 03-88874201/4530 pada waktu pejabat atau di talian 03-88874570 selepas waktu pejabat .

Sementara itu, menurut pegawai di Khartoum pada Isnin tentera Sudan menahan Perdana Menteri Abdullah Hamdok dan pegawai kerajaan selepas beliau enggan menyokong apa yang disifatkan sebagai “rampasan kuasa”.

Hamdok telah dibawa ke lokasi rahsia, lapor Agensi Anadolu memetik Twitter Kementerian Kebudayaan dan Penerangan. 

Ketegangan memuncak antara tentera dan ahli politik sejak percubaan rampasan kuasa yang gagal di Sudan bulan lepas.

Sudan ketika ini ditadbir pihak berkuasa tentera dan awam dikenali Majlis Berdaulat, sementara pilihan raya yang dijadual pada 2023 diadakan. – Bernama, 25 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen