Perikatan masih tunggu keputusan muktamad Umno, kata Azmin


Perikatan Nasional diterajui (dari kiri) Hamzah Zainudin, Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali masih membuka pintu kerjasama PRU15 untuk Umno dan Barisan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2021.

PERIKATAN Nasional (PN) masih membuka pintu untuk kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tetapi parti itu mesti membuat keputusan mereka segera, kata Mohamed Azmin Ali.

Pengarah Pilihan Raya PN berkata pihaknya mendapat isyarat yang berbeza daripada Umno, merujuk kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang tidak mahu bekerjasama dan pemimpin Umno di akar umbi yang berpandangan sebaliknya.

“Ini masalah dalaman Umno yang tidak perlu kami campur.

“Umno perlu buat keputusan muktamad, mahu atau tidak bekerjasama dan biarlah rakyat jadi hakim menentukan parti mana menolak perpaduan dan parti mana mahu mewujudkan kerjasama demi kestabilan negeri dan negara,” katanya, seperti dipetik Utusan Malaysia di Masjid Tanah.

Menurut Azmin, PN tidak pernah menutup pintu perbincangan tetapi perkara itu mesti dimuktamadkan segera bagi melancarkan gerak kerja kempen yang berkesan.

“Pas, Gerakan dan Bersatu… kita sudah sampai ke tahap untuk menghadapi hari penamaan calon namun Umno masih belum lagi membuat keputusan yang muktamad maka kita harap keputusan dapat dibuat lebih awal dan tidak di saat akhir,” katanya, dipetik Malaysia Gazette.

Azmin diminta mengulas kenyataan Zahid bahawa Umno dan BN tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dan PN dalam PRN Melaka, yang pengundiannya akan berlangsung pada 20 November.

Zahid berkata keputusan itu muktamad, sama seperti yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung Umno 2020.

Perhimpunan agung pada hujung Mac 2020 menetapkan Umno tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penamaan calon PRN Melaka ditetapkan pada 8 November ini.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas empat wakil rakyat termasuk tiga exco kerajaan negeri menarik balik sokongan mereka kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali. – 24 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen