PAS tak lawan Umno, Bersatu di Melaka, kata setiausaha parti


PAS tidak akan letak calon di kerusi ditandingi Umno dan Bersatu pada pilihan raya negeri Melaka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2021.

PAS tidak akan meletakkan calon di kerusi yang ditandingi Umno dan Bersatu dalam pilihan raya negeri Melaka, kata bendahari parti Islam itu Iskandar Abdul Samad.

Laporan Harakahdaily menyebut, beliau berkata ia bagi memastikan tiada pertandingan tiga penjuru bagi mengelakkan Pakatan Harapan mendapat keuntungan.

Oleh itu jumlah kerusi yang akan ditandingi PAS lebih kecil berbanding 24 yang ditandingi dalam pilihan raya umum 2018, katanya seperti dipetik lidah parti tersebut.

Menurut Iskandar, PAS bagaimanapun tetap memerlukan dana yang besar walau jumlah kerusi ditandingi lebih kecil dan kempen pilihan raya dijangka berpusat di media sosial.

Jelasnya PAS perlu menumpukan kepada kempen penerangan memandangkan pilihan raya negeri kali ini akan menjadi tumpuan seluruh negara.

“Kemungkinan besar media sosial akan memainkan peranan yang penting pada PRN ini dan sudah tentu ia akan melibatkan kos tambahan.

“PAS perlu bersedia dengan sebarang kos tambahan akibat SOP tersebut,” katanya yang merayu sumbangan dari penyokong parti kerajaan persekutuan itu.

Umno dan Bersatu dijangka bertembung dalam pilihan raya negeri Melaka memandangkan kedua-dua parti masih gagal merundingkan agihan kerusi yang akan ditandingi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 20 November sebagai tarikh mengundi manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal 16 November. – 22 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen