Wiski Timah: Apakah senjata Amanah, Pakatan akan tikam tuan?


BERDASARKAN antara pihak yang paling terkedepan sekali di dalam mensensasikan isu wiski buatan Malaysia yang bernama Timah ini ialah portal pro-Amanah dan pemimpin Amanah

Portal pro-Amanah, dalam laporan pada 15 Oktober 2021, mengisytiharkan “Di bawah kerajaan Melayu Islam, Malaysia kini ada arak bernama Timah”.

Pengarah Komunikasi Amanah, dalam forum pada 15 Oktober 2021 juga, mengisytiharkan perkara sama, iaitu “pada zaman kerajaan Melayu Islam ini keluar air Timah”.

Tujuan pendedahan ini dibuat pastilah agak senang untuk dibaca, iaitu untuk menjatuhkan kredibiliti para pemimpin kerajaan sekarang, khususnya para pemimpin PAS, di mata Melayu Islam di negara ini.

Dan ini dinyatakan dengan tepat oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, yang menyebut bahawa tujuan isu ini dimainkan hanyalah sebagai modal untuk menyerang PAS.

Tetapi jatuhkah kredibiliti para pemimpin kerajaan sekarang, khususnya para pemimpin PAS, di mata Melayu Islam di negara ini bila pendedahan ini dibuat bila mereka bersuara tegas menyatakan pendirian?

Paling menarik adalah tindakan Amanah menyerang PAS dalam isu telah ditegur oleh mantan pemikir DAP yang kini menjadi pensyarah di Sunway University, Dr Wong Chin Huat, kerana dikatakan merugikan Amanah dan PH.

Tulis Dr Wong: “Adakah serangan sebegini menguntungkan Amanah atau PH? Kawasan dimenangi Amanah berada di pantai barat dan kebanyakannya bermasyarakat majmuk sebaliknya PAS cuba memenangi kawasan parlimen Melayu di Kelantan, Terengganu dan Kedah. 

Adakah serangan sebegini akan menghakis sokongan PAS di kawasan Melayu lebih daripada menghakis sokongan Amanah/PH di kawasan majmuk?”

Menarik untuk dilihat apakah senjata yang cuba dihunus oleh Amanah dan PH ke atas para pemimpin kerajaan sekarang, khususnya para pemimpin PAS, melalui isu wiski buatan Malaysia yang bernama Timah ini akhirnya akan menikam tuan. – 20 Oktober, 2021.

* Dr Kamarul Zaman Yusoff, pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM)

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen