Kedudukan 4 bekas Adun Melaka dibincang petang ini, kata Anwar 


Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata pihaknya juga mengambil maklum rasa tidak senang beberapa pihak sekiranya keempat-empat bekas Adun itu mewakili gabungan parti pembangkang itu dalam PRN Melaka 20 November ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2021.

PAKATAN Harapan (PH) akan membincangkan kedudukan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional negeri itu, sama ada diterima bertanding di bawah tiket PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada mesyuarat petang ini.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata pihaknya juga mengambil maklum rasa tidak senang beberapa pihak sekiranya keempat-empat bekas Adun itu termasuk Adun Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee menjadi calon mewakili gabungan parti pembangkang itu dalam PRN Melaka 20 November ini.

“Apa-apa pun kita akan bincang dalam mesyuarat petang ini,” katanya selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul Parlimen Port Dickson di Port Dickson hari ini.

Mengenai langkah PKR menjemput keempat-empat Adun berkenaan pada majlis taklimat bersama Presiden PKR pada Isnin lepas di Melaka, Anwar berkata ia sekadar bagi mengucapkan terima kasih atas langkah mereka membawa perubahan di Melaka.

Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata parti memutuskan Norhizam tiada tempat dalam mana-mana parti komponen PH dan menolaknya sebagai calon pada PRN Melaka.

Pada 10 Mac tahun lepas, DAP memecat Norhizam yang juga timbalan pengerusi DAP Melaka selepas beliau menyatakan sokongan kepada  kerajaan negeri baharu di bawah Perikatan Nasional. 

Norhizam, bekas Adun Bebas-Pengkalan Batu adalah antara empat Adun yang mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober selain Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – Bernama, 20 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen