Melaka mengundi 20 November, umum SPR


Tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka ditetapkan pada 8 November manakala pengundian awal 16 November. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober 2021.

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan pada 20 November dengan penamaan calon ditetapkan 8 November, umum Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Abdul Ghani Salleh.

Tempoh kempen dengan itu ditetapkan selama 12 hari, dengan pematuhan ketat peraturan pencegahan penularan Covid-19, katanya.

Pengundian awal ditetapkan pada 16 November.

“Kita menganggarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi,” kata Abdul Ghani, selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR di Melaka, hari ini.

PRN Melaka akan menggunakan daftar pemilih yang dikemas kini setakat 3 Oktober 2021, yang menyenaraikan 495,196 pengundi, tambahnya.

SPR juga akan mengguna pakai garis panduan pencegahan Covid-19 berpandukan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

PRN Melaka diadakan dalam tempoh 60 hari daripada pewartaan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 5 Oktober.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas empat wakil rakyat diketuai bekas ketua menteri Idris Haron menarik balik sokongan mereka kepada Sulaiman Md Ali untuk terus menerajui kerajaan negeri.

Sulaiman yang hilang majoriti kemudian menasihati Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Rustam untuk membubarkan DUN Melaka, yang memberi perkenan untuk pembubaran.

Sementara itu, Abdul Ghani turut mengumumkan SPR melantik 28 pegawai pengurus pilihan raya yang dibantu 80 penolong pegawai pengurus.

SPR juga menubuhkan 28 pasukan petugas kempen pilihan raya yang akan memantau perjalanan kempen antara 8 hingga tengah malam sebelum hari pengundian.

Pasukan itu dianggotai Polis Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding, tambahnya. – 18 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen