SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta ketua pembangkang Anwar Ibrahim untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai isu pendedahan Kertas Pandora.
SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi berkaitan bagi menjalankan siasatan berhubung isu itu.
“Sehubungan itu, SPRM meminta Anwar untuk memberi kerjasama sekiranya beliau mempunyai maklumat lanjut mengenai isu itu,” menurut kenyataan itu.
Hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya menerima empat laporan polis berhubung isu itu.
Kertas Pandora adalah pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan ‘offshore’ atau syarikat berpangkalan di luar negara.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam pendedahan Kertas Pandora.
Pada Isnin, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz pula dilaporkan berkata, BNM sedia bekerjasama dengan agensi penguat kuasa undang-undang untuk memantau dan menyiasat dokumen terkandung dalam Kertas Pandora yang membabitkan individu di negara ini. β Bernama, 16 Oktober, 2021.
Komen