Basikal lajak: Mahkamah sudah tegakkan keadilan


EMPAT tahun lalu iaitu pada 18 Februari 2017, lapan remaja maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru. 

Pada 10 Oktober 2021, Mahkamah Majistret di Johor mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan seorang jurujual wanita, Sam Ke Ting, tertuduh dalam kes berkenaan.

Sehari selepas itu iaitu 11 Oktober 2021, Jabatan Peguam Negara dilaporkan akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Johor ini. 

Walaupun memerlukan tempoh masa yang panjang, namun ia merupakan prosedur dalam proses kehakiman bagi memastikan keadilan benar-benar ditegakkan dan tidak lagi dipersoalkan pada masa akan datang.

Sekali lagi, saya ingin mengucapkan salam takziah kepada keluarga remaja yang terkorban dalam kemalangan tersebut.

Kes ini hangat diperkatakan, tambahan pula ia menyebabkan kehilangan nyawa 8 remaja berbangsa Melayu yang menunggang basikal lajak dan pemandu kereta iaitu tertuduh dalam kes ini pula berbangsa Cina.

Berdasarkan saksi dan eksibit (barang kes) yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan kepada mahkamah, kejadian ini berlaku sekitar jam 3 pagi. 

Mahkamah percaya bahawa pemandu memandu dalam keadaan sedar dan terjaga serta mematuhi had kelajuan yang ditetapkan.

Namun, apabila tiba di satu selekoh yang gelap di Jalan Lingkaran Dalam, Johor tersebut, terdapat puluhan basikal lajak memenuhi jalan raya sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan. 

Sebagai seorang wanita dan juga pemandu, saya juga terfikir, apa tindakan seandainya senario sedemikan berlaku kepada saya? Bagaimana pula dengan pemandu lain?

Komen-komen netizen, khususnya masyarakat Melayu benar-benar menarik perhatian saya.

Kebanyakan komen yang diberikan bersifat rasional, berfakta, adil dan tidak emosional jauh sekali berbaur perkauman. Masyarakat kita kini lebih matang dan tidak mudah terperangkap dengan sentimen perkauman yang cuba diapi-apikan oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab, walaupun tertuduh diwakili peguamnya Melayu.

Dalam konteks ini, kedaulatan undang-undang telah menegakkan kebenaran serta keberanian dan juga medium menyatupadukan Keluarga Malaysia.

Namun yang demikian, pendirian saya terhadap kes-kes membabitkan pemandu mabuk atau dipengaruhi dadah mahupun pemanduan merbahaya atau melulu tetap sama, iaitu saya mengutuk sekeras-kerasnya. 

Sikap tidak bertanggungjawab sedemikian bukan sahaja membahayakan keselamatan diri, tetapi juga pengguna jalan raya lain.

* Cally Ting Zhao Song, Pengerusi Biro Perhubungan Etnik dan Hal-Ehwal Agama MCA.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen