Tubuh RCI siasat Kertas Pandora 


SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan dengan segera bagi menyiasat isu yang melibatkan pendedahan Kertas Pandora yang sedang hangat diperkatakan pada ketika ini, yang turut mendedahkan beberapa nama pemimpin, ahli politik dan orang ternama dalam Malaysia. 

Baru-baru ini isu pendedahan Kertas Pandora atau Pandora Papers menjadi tajuk utama media antarabangsa.

Banyak nama pemimpin, orang kenamaan serta ahli politik di serata dunia yang didakwa menyimpan rahsia kekayaan luar biasa tersembunyi mereka didedahkan seperti Raja Jordan, Raja Abdullah bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, Presiden Rusia, Vladimir Putin, Presiden Azerbijan, Ilham Aliyev, dan lain-lain.

Apakah sebenarnya Kertas Pandora yang sedang heboh diperkatakan ketika ini? 

Kertas Pandora merupakan pendedahan berkaitan dokumen sulit melibatkan golongan kaya dan berpengaruh di serata dunia yang menyembunyikan kekayaan luar biasa masing-masing dengan menggunakan perkhidmatan “offshore”. 

Offshore merujuk kepada syarikat berpangkalan di negara luar serta mempunyai rangkaian dan struktur yang kompleks merentasi sempadan bagi menyembunyikan pemilikan kekayaan luar biasa mereka dalam bentuk wang dan aset. 

Kertas Pandora didedahkan oleh pihak Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) pada 3 Oktober 2021. 

Melalui Kertas Pandora itu, ICIJ mendedahkan ratusan pemimpin dunia, ahli politik berpengaruh, bilionair, selebriti dan lain-lain menyembunyikan kekayaan luar biasa mereka sejak 25 tahun lepas.

Mereka didakwa melakukan pelaburan dalam bidang hartanah eksklusif dan aset lain termasuk kapal layar. 

ICIJ juga tidak menolak kemungkinan lebih banyak pendedahan akan dibuat mengenai skim luar pesisir yang digunakan golongan terkaya dan paling berkuasa di dunia dalam masa beberapa hari, bulan, malah tahun lagi memandangkan kumpulan berkenaan masih meneliti 12 juta dokumen. 

Turut didedahkan melalui Kertas Pandora berkenaan adalah beberapa nama pemimpin, orang kenamaan, dan ahli politik dalam Malaysia. 

Isu Kertas Pandora ini perlu dipandang secara serius oleh semua pihak khususnya oleh pihak kerajaan Malaysia. 

Satu bentuk tindakan segera perlu diambil bagi meneliti dan menyiasat dengan lebih teliti mengenai pendedahan yang telah dibuat melalui Kertas Pandora berkenaan. 

Rakyat berhak tahu kebenaran dan kesahihan Kertas Pandora berkenaan. 

Rakyat juga berhak tahu punca pendapatan yang dimiliki oleh semua pemimpin, orang kenamaan dan ahli politik di negara kita yang namanya disebut dalam Kertas Pandora.

Rakyat berhak untuk ketahui adakah segala kemewahan yang dimiliki oleh semua nama pemimpin, orang kenamaan dan ahli politik yang disebut datang dari sumber yang sah dan tidak dari sumber yang haram. 

Antara langkah yang boleh diberi pertimbangan oleh pihak kerajaan adalah dengan menubuhkan sebuah RCI bagi meneliti dan menyiasat Kertas Pandora berkenaan dengan lebih menyeluruh. 

Penubuhan RCI juga penting bagi memberi ruang dan peluang kepada pihak-pihak yang lebih berkepakaran dan berpengalaman untuk siasat segala isu berbangkit melibatkan Kertas Pandora. 

Yang di-Pertuan Agong (YDPA) boleh memberi perkenan baginda terhadap perkara ini jika dimohon oleh pihak kerajaan untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan seperti yang jelas termaktub bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119]. 

Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan jelas memperuntukkan bahawa ia boleh dilakukan, jika pada pendapat Agong, berfaedah bagi ”kebajikan awam”. 

Perkataan kebajikan awam ini adalah luas yang boleh juga meliputi segala isu berbangkit hasil daripada pendedahan Kertas Pandora. 

Dengan adanya RCI ini, kita dapat mengenal pasti dengan lebih mendalam segala isu berbangkit yang didedahkan melalui Kertas Pandora. 

Penubuhan RCI penting supaya rakyat berasa yakin dan percaya terhadap keseriusan pihak kerajaan untuk membendung salah jenis kuasa, rasuah dan jenayah terutama yang melibatkan pemimpin, orang kenamaan dan ahli politik. 

Isu pendedahan Kertas Pandora ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ia boleh merosakkan imej dan reputasi negara kita. 

Tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah melakukan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang negara kita. – 13 Oktober, 2021.

* Dr Muzaffar Syah Mallow, Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang – Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen