J/kuasa Pemandu MoU kerajaan-PH mesyuarat buat kali kedua hari ini


Jawatankuasa Pemandu perjanjian persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik bermesyuarat pada pukul 6 petang hari ini di Parlimen, kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil. – Gambar Facebook Fahmi Fadzil, 11 Oktober, 2021.

JAWATANKUASA Pemandu perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan-Pakatan Harapan bermesyuarat untuk kali kedua di Parlimen hari ini, kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

“Mesyuarat dihadiri perdana menteri dan ketua pembangkang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Foto mesyuarat pukul 6 petang itu dimuat naik di Facebook Fahmi, menunjukkan ia dihadiri wakil kerajaan iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Bagi pihak PH, ahli Parlimen Negeri Sembilan Anthony Loke, ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu Saifuddin Nasution Ismail dan ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo.

“Enam dari 18 perkara telah dilaksanakan. 12 perkara lagi masih sedang dalam proses pelaksanaan. Mesyuarat seterusnya dua minggu dari sekarang,” kata Fahmi

Enam perkara yang telah dilaksanakan antara lain termasuklah tambahan RM45 bilion untuk dana Covid-19, RM10 bilion untuk memberi manfaat kepada golongan miskin, pembelian tambahan enam juta dos vaksin dan dana yang sama untuk semua ahli Parlimen.

MoU Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan presiden PKR Anwar Ibrahim, Pengerusi Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau bulan lalu.

MoU tersebut mempunyai enam teras, iaitu memperkuat pelan Covid-19 negara, transformasi institusi, reformasi Parlimen, kebebasan kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963, dan pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Berdasarkan perjanjian yang dipersetujui, kerajaan berjanji untuk melaksanakan tiga pembaharuan besar pada pertengahan tahun depan, sebelum sesi Parlimen berikutnya.

Ia merangkumi undang-undang antilompat parti, pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik, had tempoh 10 tahun jawatan perdana menteri. – 11 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen