Vaksinasi kanak-kanak bawah 12 tahun dijangka tahun depan, kata Khairy


Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dianggap sebagai kumpulan yang paling rentan dalam masyarakat bersama warga emas, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober 2021.

KANAK-KANAK berumur 12 tahun ke bawah dijangka menerima vaksin Covid-19 tahun depan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.

Memandangkan kes Covid-19 semakin meningkat membabitkan kumpulan usia tersebut, Khairy berkata mereka dianggap sebagai kumpulan yang paling rentan dalam masyarakat bersama warga emas.

“Mudah-mudahan, kita akan mendapat kelulusan peraturan untuk memvaksinasi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah. Jumlah kes bagi mereka yang berumur di bawah 12 tahun akan meningkat.

“Kebanyakannya ringan (kes ringan) tetapi kita tidak tahu apa kesan jangka masa panjang Covid terhadap kanak-kanak.

“Kita mahu mengelakkan mereka daripada dijangkiti. Jadi, semoga anak-anak mendapat vaksinasi tahun depan dan kami juga akan memberikan perlindungan Covid-19,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Doktor Perubatan Malaysia.

Tahun lalu, terdapat 8,478 kes dilaporkan di kalangan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

Namun pada 30 Ogos tahun ini, kes meningkat kepada 26 kali ganda dengan 220,987 jangkitan dilaporkan di kalangan kanak-kanak dari kumpulan umur yang sama.

Khairy juga berkata kementerian berharap dapat meneruskan hubungan kerja yang baik dengan sektor penjagaan kesihatan swasta.

Beliau berkata, kerajaan masih memerlukan sokongan daripada sektor kesihatan swasta.

“Kami telah mendapat imunisasi untuk remaja sekarang. Kami ingin memulakan imunisasi untuk orang tua yang berisiko tinggi, mereka yang mempunyai komorbiditi, petugas barisan hadapan untuk mendapatkan suntikan ketiga atau dos penggalak selepas ini. Oleh itu, kami meningkatkan tahap imuniti untuk mereka yang berisiko tinggi. Untuk itu kami memerlukan sokongan rakan swasta kami,” katanya. – 10 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen