Kenapa Pakatan tarik balik semakan penghakiman Pulau Batu Putih


SAYA ucapkan tahniah dan amat gembira dengan keputusan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakub menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkaji opsyen yang sesuai berhubung kes Pulau Batu Putih.

Seperti kita ketahui, Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2008 memutuskan bahawa Pulau Batu Putih adalah wilayah berdaulat Singapura. Pada Februari 2017, Peguam Negara mengemukakan permohonan untuk semakan penghakiman tersebut dengan alasan penemuan bukti baru. Tarikh pendengaran untuk semakan ditetapkan pada 11 Jun 2018.

Setelah Dr Mahathir Mohamad diangkat menjadi perdana menteri ke 7, kerajaan PH telah memutus untuk tidak meneruskan semakan keputusan tersebut. Malaysia kehilangan milikan Pulau Batu Putih untuk selama-lamanya.

Kenapa kerajaan PH memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding semakan di ICJ tidak pernah dijelaskan. Keputusan sepenting itu sewajarnya diterangkan di Parlimen secara telus dan bertanggungjawab.

Dengan menubuhkan pasukan petugas khas kes Pulau Batu Putih ini, amat penting untuk pasukan ini menjelaskan dalam laporannya nanti perkara sebenar yang menyebabkan kerajaan menarik balik semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Putih.

Rakyat Malaysia wajar tahu adakah tindakan tersebut cuai dan membelakangkan kepentingan nasional. Seterusnya siapa yang harus dipertanggungjawabkan dalam kegagalan meneruskan semakan keputusan tersebut.

Bangsa lain bermatian untuk mempertahankan walau seinci tanahair mereka. Kerajaan Perikatan Harapan melepaskan segala usaha mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Putih tanpa sebarang skrutini dan pertanggungjawaban.

Tindakan mereka adalah ‘the neglect of duty of the highest order’. Mereka harus dipertanggubgjawabkan jika mereka, cuai, culas dan membelakangkan kepentingan nasional. – 10 Oktober, 2021.


* Mohamed Khaled Nordin adalah naib presiden Umno.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen