Politik pelali: Sisi gelap jalur massa


MAOISME sebagai salah satu faham komunis, merupakan ideologi negara yang menggalang gerakan rakyat secara total; desa sehingga kota, fikiran sehingga tubuh, individu sehingga kolektif serta sistem sehingga budaya.

 

Kemuncaknya, faham ini akhirnya membahagikan antara “rakyat” dan “bukan rakyat” berdasarkan kepada ciri kesolehan yang ditentukan Parti Komunis China. Mana-mana yang enggan menyelaraskan dirinya dengan agenda parti pimpinan Mao Zedong, maka akan dididik semula sehingga insaf; mana-mana yang tidak insaf, akan terus dididik—dalam kem pemulihan akhlak—sampai mati.

Memang, Mao telah lama meninggalkan kita. Tetapi Maoisme boleh sesekali bertandang.

Bahkan, tatkala musim pandemik di Malaysia, fahamnya—dalam diam-diam—kreatif menyelinap tanpa kesan. Kalangan yang menyeludup masuk ideologi ini bukannya individu kiri tertentu, sebaliknya adalah puak politikus yang berbenak totalitarianisme.

Bagaimana puak politikus, yang—mungkin dahulunya—tidak lekang meratib kebebasan, akhirnya menjadi pengkultus Mao sejati?

Ini tidak memerlukan mereka menyanyikan, “the east is red, the sun is rising.” Memadai hanya meneruskan kembali langkah pembahagian rakyat. Kali ini dengan perbezaan antara “rakyat yang divaksinkan” dengan “rakyat yang enggan divaksinkan.”

Dalam sedar atau tidak sedar, mereka yang berjaya divaksinkan dengan bermacam produk pelali seperti Pfizer, Sinovac, AstraZeneca adalah dianggap brahmin, manakala selainnya pariah. Kini, kasta yang mulia dapat meneruskan kembali kehidupan lazim, manakala selainnya wajar (i) disiasat imannya dan (ii) dirampas haknya.

Semua kewajaran ini bermula dengan politik pelali yang diterajui oleh puak politikus yang mendabik diri mereka sebagai mewakili jalur massa (mass line). Ini merupakan sebuah jalur yang awalnya belum dominan dan popular, tetapi kemudiannya diolah perspektifnya sehingga menjadi sebuah kerumunan yang berkuasa.

Sementara itu, propaganda kerajaan serta segala sistem sokongan media akan dimanipulasi demi memastikan rakyat terus menyelaraskan diri mereka dengan “kehendak” puak politikus tersebut. Malah, para saintis, pakar, ahli akademik dan aktivis diperah untuk mengukuhkan pembentukan jalur massa yang dikehendaki oleh puak politikus tersebut.

Untuk menjelaskan perkara ini, pertamanya, eloklah kita tumpukan kepada hujah terkuat yang digadang-gadang oleh puak politikus bahawa program vaksinasi besar-besaran (mass vaccination) memang berkesan, malah dipercayai satu-satunya jalan keluar (the only way out) daripada kemelut pandemik global ini.

Sebenarnya, puak politikus telah memaksa—secara halus dan helah—untuk memastikan semua rakyat beriman dengan segala rukun yang terdapat dalam program vaksinasi besar-besaran. Walaupun awalnya disebut sekadar pilihan, tetapi itu tampaknya sekadar “menggoyangkan lidah” sahaja.

Apa yang berlaku kini, secara terang-terang bahkan, 10% yang belum menerima vaksin akan diburu, 1% penjawat awam pula akan dikenakan tindakan tatatertib, anggota keselamatan dipecat, guru diugut pindah, serta banyak lagi.

Sebaliknya, mereka yang telahpun dicucuk akan dikembalikan hampir semua kebiasaan harian mereka sama seperti sebelum pandemik, yang mana kebiasaan tersebut kini dianggap sebagai keisitimewaan yang sudah boleh ditemasyakan.

Jelas sekali, program vaksinasi besar-besaran ini adalah sebuah paksaan tersembunyi kepada mereka yang enggan sejalur dengan massa. Lalu, pembohongan demi pembohongan dibiasakan.

Bayangkan sahaja bahawa naratif vaksin ini berubah secara tekal; kalau dahulunya bertujuan untuk mencapai imuniti kelompok, tetapi kini tidak lagi releven; kalau dahulunya sekadar dua dos, kini diperkenalkan dengan beberapa dos berkala dan penggalaknya sekali; kalau dahulunya adalah pilihan, kini adalah pilihan-paksa.

Segala idea mengenai “liberté, égalité, fraternité” mestilah diketepikan—buat sementara, kononnya—bagi memastikan pembentukan seraksasa mungkin jalur massa yang “patuh dan taat” kepada program vaksinasi besar-besaran ini.

Dalih puak politikus ini, “memang inilah tugas kerajaan bagi memastikan kemaslahatan awam.”

Persoalannya: Apakah sebilangan kecil rakyat yang enggan menerima vaksin ini begitu berbahaya sekali sampai boleh menggugat sebilangan besar rakyat? Kalau majoriti besar sudah berjaya dilalikan, maka kenapa gundah-gulana lagi?

Semua diskriminasi kepada sebilangan kecil ini jelas sekali bermula dengan anggapan bahawa langkah vaksinasi besar-besaran merupakan satu konsensus di kalangan saintis dan pakar perubatan.

Anggapan inilah yang mendorong puak politikus dan para pengkultusnya untuk menyembah berhala yang bernama vaksinasi besar-besaran ini. Kalangan ini angkuh berkata bahawa pendekatan ini berdasarkan saranan kepada para saintis dan pakar perubatan.

Soalnya, saintis dan pakar yang mana satu? Tentu sekali kalangan ini akan membalas yakin bahawa mereka mengikuti saintis dan pakar perubatan yang “follow the science.” Jawabnya, tidak pernah pun saintis dan pakar perubatan mempunyai konsensus mengenai langkah vaksinasi besar-besaran!

Misalnya, Geert Vanden Bossche, pakar virologi dari Belgium tegas menyatakan, “mass infection prevention and mass vaccination with leaky Covid-19 vaccines in the midst of the pandemic can only breed highly infectious variants.” Mungkin ada yang mempertikaikan penyataan ini bersifat pinggiran kerana sekadar seorang individu semata-mata.

Baik, bagaimana pula dengan pemenang Nobel 2008, Luc Montagnier juga seorang pakar virologi yang menambah bahawa vaksinasi massa merupakan “a scientific error as well as a medical error”?

Tidak cukup lagi? Bagaimana pula dengan Robert Wallace Malone seorang pakar virologi merangkap pencipta teknologi mRNA dan Peter A. McCullough seorang ahli kardiologi terkenal, memperingatkan dunia mengenai bahaya vaksinasi massa?

Lantas, setelah kesemua mereka tidak sejalur dengan massa maka mereka bukan lagi bergelar saintis dan pakar perubatan?

Jika hujah bahawa kebenaran ditentukan dengan seberapa besar sesuatu jalur, maka sedarlah bahawa Adolf Hitler tidak pernah salah semasa kemuncak karier politiknya.

Dan keduanya, kesan daripada beriman terhadap vaksinasi besar-besaran ini akhirnya mencetuskan kewajaran penafian hak asasi manusia terhadap mereka yang enggan menerima vaksin.

Hujah utama puak politikus, penafian ini munasabah kerana itu merupakan hak kerajaan untuk “membetulkan individu” yang ingkar untuk bersama dengan jalur massa. Puak politikus membayangkan lagi bahawa semua yang dilakukan oleh kerajaan ini adalah tindakan yang berasaskan “niat baik” demi menyelamatkan rakyat.

Mari berfikir sejenak: “Kerajaan ada niat baik? Kerajaan ikhlas membantu rakyat?” Sekarang mari kita tukar istilah “kerajaan” dengan “politikus,” lalu ulang kembali soalan yang sama. Adalah amat sukar untuk dipercayai bahawa puak politikus mempunyai niat baik untuk membantu rakyat.

Insaflah, “the road to hell is paved with good intentions.”

Atas nama niat baiklah, kita dapat melihat bagaimana kerajaan merasionalisasikan amalan diskriminasi terhadap kebabilan sebilangan kecil rakyat untuk turut sama terjebak dengan program vaksinasi besar-besaran.

Lantaran itu, kita tidak hairan melihat wujudnya “cemuhan berjamaah” kepada mereka yang enggan menerima vaksin. Dalam kata lain, kasta ini adalah “warganegara yang paling berdosa.”

Hasilnya, puak politikus kini bukan sahaja mahu mengawal ‘badan’ rakyat, tetapi juga mahu mengawal moral rakyat; dengan memukulratakan semua orang yang enggan menerima vaksin sebagai “antivaksin,” suatu label yang menyeronokkan kerana stigmatisasinya yang begitu kuat.

Tindakan pukulrata ini dibuat, tentu sekali, bagi memudah dan meringkaskan pengelasan musuh. Tetapi, dalam bacaan lain, tindakan ini juga menunjukkan kebebalan kerajaan dalam memahami kerumitan politik pelali ini secara global.

Sekali lagi, puak politikus dan pengkultusnya takkan ingin mendengar hujah-hujah seperti ini kerana awal-awal lagi dianggap tebal berbau konspirasi.

Misalnya: Adakah Covid-19 merupakan Chernobylnya China yang tidak bertanggungjawab? “Ah, itu konspirasi.” Adakah program vaksinasi besar-besaran ini agenda tersembunyi syarikat farmaseutikal untuk memperoleh kontrak lumayan yang dirahsiakan? “Ah, itu konspirasi.”

Jika begitu, memang benarlah mereka pembaris, enggan menyelak kemungkinan-kemungkinan lain; akhirnya, mereka sekadar pengekor kepada selera semasa. Inilah golongan yang paling tidak boleh diharap untuk memangkin sebarang perubahan dalam masyarakat.

Justeru itu, janganlah hairan sekiranya kalangan yang paling progresif sekalipun—ahli akademik mahupun aktivis—yang sebelum pandemik lantang menzikirkan hak asasi manusia, tetapi bila berdepan dengan persoalan hak asasi untuk mereka yang enggan menerima vaksin, maka kalangan ini selesa membungkam.

Sekali lagi kita ingin mempersoalkan, adakah kalangan progresif ini sudah terjerumus dalam jalur massa—yang lantas menggelompokkan diri mereka bersekali dengan puak politikus dan pengkultusnya?

Sikap bungkam mereka ini jelas bukan lagi pada tahap hipokrasi terang-terangan. Tetapi menunjukkan tahap baharu kebelangan sebenar ahli akademik dan aktivis yang mendakwa mereka sebagai pejuang hak asasi manusia.

Memang, kita sukar untuk lihat belang muncul di luar krisis. Akan tetapi belang ini memang ketara menyerlah bila mana krisis muncul. Bila datang waktunya yang diperlukan untuk menegakkan “prinsip sejagat,” maka mereka yang berbicara atas nama hak asasi manusialah yang turut sama membunuh hak asasi manusia tersebut.

Kita mungkin pernah terlintas persoalan: Kenapalah sewaktu zaman Nazi majoriti rakyat Jerman menyokong Hitler yang membunuh Yahudi? Kenapalah sewaktu zaman Reformasi Indonesia 1997-98 ada orang ramai yang sanggup membunuh etnik tertentu? Kenapalah sewaktu perang Balkan ada komuniti yang sanggup memperkosa tetangganya sendiri yang berlainan etnik?

Kini kita boleh katakan di sini bahawa sebenarnya masyarakat kita telahpun menunjukkan potensi untuk menjadi kerumunan yang sama!

Kerumunan yang mempunyai “cognitive dissonance” ini berbangga dengan sijil vaksinasi sambil menampal kata “lawan” di hashtag media sosialnya. Soalnya, lawan siapa? Lawan golongan yang enggan menerima vaksin!

Melihat ke hadapan, dan menginsafi keadaan ini, maka kita tidak boleh berharap sangat kepada para ahli akademik dan aktivis. Apatah lagi, jauh sekali berharap kepada puak politikus dan para pengkultusnya, termasuklah puak politikus pembangkang sekalipun.

Harapan terakhir kita bukannya lagi kepada organisasi mahupun individu. Sebaliknya kepada mempertahankan amalan keberpihakan terhadap kejernihan, kecerdasan dan kekritisan—meskipun berdada dengan jalur massa yang penuh membara.

Amalan seperti ini terbukti lestari melampaui waktu; tidak seperti Chairman Mao yang kini cumalah barang dagangan dan keagamaan, suatu ironi untuk Maoisme itu sendiri. – 9 Oktober, 2021.

* Aqil Fithri merupakan ahli Diskopi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen