Laman sesawang garis panduan lesen dilancar 8 Oktober


MPC melancarkan MyGP bagi meningkatkan ketelusan dalam proses permohonan lesen dan permit melalui penambahbaikan garis panduan pelesenan. – Gambar Facebook, 6 Oktober, 2021.

LAMAN Sesawang Garis Panduan Pelesenan Malaysia yang dikenali sebagai MyGP bakal dilancarkan pada 8 Oktober ini, kata Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Majlis pelancaran MyGP yang bertemakan “Integriti Pemacu Produktiviti” merupakan kesinambungan inisiatif Membentuk Mekanisme yang Kukuh dan Efektif dalam Proses Pengeluaran Permit dan Lesen di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

Ia berkata inisiatif yang dimandatkan kepada MPC melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 2/2020 selesai dilaksanakan di peringkat kerajaan persekutuan dan kini diteruskan di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Inisiatif ini dilaksanakan untuk meningkatkan ketelusan dalam proses permohonan lesen dan permit melalui penambahbaikan garis panduan pelesenan,” kata Ketua Pengarah MPC Abdul Latif Abu Seman dalam satu kenyataan hari ini.

MyGP yang memuatkan kesemua garis panduan akan memudahkan pengguna terutamanya komuniti perniagaan dan pada masa yang sama memperkukuhkan penyampaian peraturan yang berintegriti melalui ketelusan capaian maklumat.

Pelaksanaan di peringkat kerajaan persekutuan melibatkan 617 pelesenan perniagaan di 14 kementerian dan 70 agensi.

Sejak 2020, MPC dengan kerjasama Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), kementerian-kementerian serta Pihak Berkuasa Melesen telah melaksanakan usaha menyemak semula garis panduan dalam memastikan semua rujukan permohonan lesen dan permit adalah berkualiti. – Bernama, 6 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen