Terima semula Lokman Adam proses biasa, kata timbalan presiden Umno


Penerimaan semula bekas ahli MKT Umno Lokman Noor Adam menjadi ahli parti itu semula adalah proses biasa, kata Timbalan Presiden Mohamad Hasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2021.

PENERIMAAN semula bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Lokman Noor Adam untuk menjadi ahli parti itu semula adalah proses biasa.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam membuat ketetapan untuk menerima semula Lokman tetapi hanya sebagai ahli biasa.

“Menerima Lokman yang dipecat keahlian beliau sebagai ahli biasa Umno adalah proses biasa. Sebelum ini pun ramai ahli Umno yang dipecat diterima semula sebagai ahli biasa,” katanya.

Sementara itu, Lokman dalam reaksinya berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara tersebut oleh Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Sambil berterima kasih kepada Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi dan barisan MT Umno, Lokman turut berazam untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya dan memberikan sokongan moral kepada saya selama ini,” katanya dalam catatan yang dimuat naik di laman Facebook Umno.

Lokman, yang juga ahli Majlis Tertinggi yang menang bertanding jawatan berkenaan dipecat daripada Umno pada 7 Februari tahun lepas. – Bernama, 30 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen