Kompaun Ahmad Maslan satu tindakan hukuman, kata SPRM


KOMPAUN RM1.1 juta kepada Ahmad Maslan adalah satu bentuk hukuman, kata agensi antirasuah selepas mahkamah hari ini melepas dan membebaskan ahli Parlimen Pontian daripada dua tuduhan jenayah.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menjelaskan bahawa tindakan kompaun yang dikenakan ini merupakan satu tindakan punitif terhadap mana-mana individu yang terlibat.

“Ia merupakan satu bentuk pemulangan aset di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla),” kata agensi itu dalam satu kenyataan.

SPRM juga memaklumkan Ahmad pernah ditawarkan kompaun pada Oktober 2019 tetapi pada masa itu memilih untuk dibicarakan di mahkamah.

Penjelasan SPRM menyusul kenyataan firma guaman Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq yang bertindak sebagai peguam bela Ahmad, kompaun berkenaan bukan pengakuan bersalah.

“Penyelesaian ini adalah satu penyelesaian yang menang-menang bagi semua pihak dan seiring dengan undang-undang,” kata peguam bela Ahmad.

Awal hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebas dan melepaskan Ahmad daripada kedua-dua tuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak, yang dipercayai hasil aktiviti menyalahi undang-undang, dan memberi kenyataan palsu kepada agensi antirasuah.

Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Setiausaha Agung Umno susulan persetujuannya membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta, semalam.

Ahmad dituduh gagal mengisytiharkan wang RM2 juta yang beliau terima daripada Najib. Beliau juga didakwa kerana memberi pernyataan palsu kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut AMLA 2001.

Pertuduhan bagi kesalahan gagal mengisytiharkan RM2 juta membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan memberi pernyataan palsu pula hukumannya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – 29 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen