Keberkesanan PdPR antara menarik perhatian Dewan Rakyat hari ini


Keberkesanan PdPR semasa Covid-19 mendapat perhatian beberapa ahli Parlimen yang mengambil bahagian pada hari terakhir perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2021.

ISU pendidikan, antaranya keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) semasa Covid-19, mendapat perhatian beberapa ahli Parlimen yang mengambil bahagian pada hari terakhir perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja hari ini.

Jugah Anak Muyang @ Tambat (Bebas-Lubok Antu) berkata PdPR merupakan pendekatan kurang relevan terutama di kawasan luar bandar berikutan masalah capaian Internet.

“Saya mengambil contoh di Lubok Antu, meskipun banyak terdapat tiang telekomunikasi namun belum dipasang piring pemancar. Ini merupakan satu sebab kenapa peratusan kelajuan radius liputan Internet masih berada dalam kategori lemah,” katanya.

Beliau berkata masalah itu menjadi bebanan kepada pelajar dan warga pendidik di kawasan luar bandar.

Hasan Bahrom (PH-Tampin) turut membangkitkan isu capaian Internet dan masalah ketiadaan peranti dalam kalangan pelajar yang membolehkan mereka mengikuti PdPR.

“Kita tidak tahu bagaimana murid hendak belajar sekiranya capaian Internet laju tetapi murid tidak mempunyai peranti, begitulah sebaliknya sekiranya murid mempunyai peranti tetapi tidak dapat capaian Internet atau kelajuan capaiannya yang lemah.

“Semuanya itu memberi kesan kepada pembelajaran mereka khususnya murid luar bandar yang jauh ketinggalan,” katanya.

Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) pula meminta Kementerian Pendidikan menangguhkan pembukaan sekolah yang dijadual bulan depan memandangkan kes Covid-19 di Sarawak masih berada pada tahap tinggi.

Seramai 91 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja yang berlangsung sejak 14 September, sehari selepas Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14. 

Berdasarkan takwim di laman rasmi Parlimen, urusan persidangan esok serta Khamis akan diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. – Bernama, 21 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen