Wajar percepatkan pemilihan Umno, kata Tajuddin


Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman berkata pemilihan parti wajar dipercepatkan untuk bina kesatuan parti menuju pilihan raya umum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2021.

PEMILIHAN Umno wajar dipercepatkan untuk membina semula kesatuan dalam parti menuju pilihan raya umum akan datang, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berpandangan pemilihan Umno, yang kini ditangguhkan sehingga Disember 2022, harus diselesaikan dengan cepat supaya tidak lagi jadi kebimbangan dalam kalangan ahli parti sendiri.

“Sekarang parti tidak sekata, pelan tindakan, strategi perbincangan pun tidak ada.

“Perbincangan dalam kalangan kepe­mimpinan sama ada peringkat pusat, negeri, peringkat bahagian pun tidak ada, perbincangan ke arah pilihan raya, apa perlu dilakukan untuk mengukuhkan jentera parti?

Kepemimpinan Umno tidak menunjukkan parti Umno di semua peringkat faham dari segi hala tuju. Ini me­nunjukkan kelemahan dalaman parti,” katanya, seperti dipetik Utusan Malaysia.

Bekas pengarah pilihan raya Umno menyertai beberapa pemimpin parti yang minggu ini kembali mendesak agar pemilihan parti diadakan segera.

Antaranya Timbalan Ketua Umno Bandar Tun Razak Adnan Seman dipetik berkata pemilihan parti yang disegerakan boleh mewujudkan kestabilan politik sekurang-kurangnya sehingga 10 bulan lagi.

Beliau mencadangkan Umno memilih barisan kepimpinan baharu antara Mac dan Jun tahun depan, selepas kerajaan bersetuju  tidak membubarkan Parlimen sebelum Julai 2022.

Persetujuan itu hasil Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan yang dimeterai pada 13 September.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata tidak timbul isu pemilihan Umno mesti diadakan sebelum Piluhan Raya Umum ke-15 kerana sebelum ini ia pernah dibuat selepas pilihan raya umum.

Dalam pada itu, Tajuddin berkata beliau mendapat permintaan daripada ahli Umno untuk bertanding salah satu tiga jawatan utama parti, antara presiden, timbalan presiden, atau naib presiden.

“Saya menawarkan diri untuk jawatan top 3. Ada yang ingin melihat saya untuk memberikan khidmat kepada parti,” katanya.

Tajuddin bertanding jawatan naib presiden pada pemilihan lepas dan menduduki tempat kelima daripada tujuh calon. – 21 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen