Hanif mohon maaf kepada Kit Siang berhubung kenyataan berunsur perkauman


Bekas ketua polis negara Hanif Omar hari ini memohon maaf kepada Lim Kit Siang kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2021.

BEKAS ketua polis negara Hanif Omar hari ini memohon maaf kepada Lim Kit Siang kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mendakwa veteran DAP itu berusaha memisahkan atau membahagikan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian berdasarkan kaum serta berniat memecahkan kaum Melayu dan Cina.

Permohonan maaf itu dibaca di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan pesuruhjaya kehakiman Quay Chew Soon hari ini.

“Saya mengesahkan bahawa penangkapan plantif (Lim) pada tahun 1969 bukan atas dasar bahawa dia meminta negara dibahagikan mengikut garis perkauman,” kata Hanif dalam permohonan maafnya.

Hanif didakwa membuat kenyataan itu semasa menyampaikan ucapan pada Konvonsyen Keramah Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 6 September 2018 yang diterbitkan dan disiarkan oleh akhbar Sinar Harian pada hari sama.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga menuduh Sinar Harian bertindak jahat dengan menyiarkan kenyataan itu. 

Lim memfailkan saman pada 17 Oktober 2018 terhadap Hanif dan Sinar Harian dengan mendakwa bahawa kenyataan itu adalah fitnah. Dia juga mendakwa kenyataan Hanif telah merosakkan reputasinya sebagai tokoh masyarakat.

Lim menuntut Hanif mengemukakan permohonan maaf dan menarik balik kata-kata fitnah berkenaan selain menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta satu perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya daripada mengulangi atau menerbitkan semula kata-kata fitnah berkenaan.

Sinar Harian juga akan menerbitkan permohonan maaf terbuka kepada Lim minggu ini atas laporan berita mereka yang berkaitan dengan komen Hanif.

Mahkamah memerintahkan Sinar Harian membayar kos RM20,000 kepada Lim. – 20 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen