Badan UK terima aduan Nube terhadap HSBC


Setiausaha Agung Nube J Solomon mengalu-alukan keputusan UK National Contact Point menerima aduan dibuat ke atas HSBC Bank Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2021.

UK National Contact Point (UK NCP) bersetuju menerima aduan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (Nube) dan UNI Global Union berkaitan layanan tidak adil HSBC Bank Malaysia Berhad kepada pekerjanya, kata J Solomon.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, setiausaha agung Nube itu menjelaskan yang aduan terhadap HSBC Bank Malaysia dibuat berkaitan pelanggaran beberapa artikel tertentu termasuk Bab V Garis Panduan (Hubungan Pekerjaan dan Industri).  

Katanya, HSBC Bank Malaysia gagal menghormati undang-undang buruh dan perjanjian kolektif ditandatangani di Malaysia.

“UK NCP, dalam kenyataan mengenai keputusan mereka, yang dikeluarkan pada 15 September 2021 lalu, mengatakan bahawa pihaknya telah memutuskan untuk menerima beberapa aduan yang difailkan oleh Nube dan Uni Global Union mengenai HSBC Bank Malaysia Berhad sebagai yang sah, dan aduan akan dibawa ke peringkat siasatan selanjutnya atau untuk proses mediasi.

“Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (Nube) dengan sokongan Uni Global Union telah memfailkan aduan secara rasmi mengenai HSBC Bank Malaysia Berhad, anak syarikat HSBC Holdings Plc, sebuah syarikat pelaburan dan perkhidmatan kewangan multinasional Britain, di UK National Contact Point (UK NCP) bagi Garis Panduan OECD Mengenai Perniagaan Multinasional pada bulan Disember 2020,” kata Solomon.

UK National Contact adalah sebahagian daripada Jabatan Perdagangan Antarabangsa. Ia bertanggungjawab mempromosi garis panduan tanggungjawab menjalankan perniagaan OECD untuk syarikat multinasional serta mempunyai mekanisma aduan bagi pematuhan garis panduan itu.

Menurut Solomon, HSBC Bank Malaysia melanggar enam garis panduan ditetapkan termasuk sengaja melewatkan proses rundingan dan menghalang wakil kesatuan sekerja memasuki tempat kerja.  

“Nube menyambut baik keputusan yang secara langsung menunjukkan bahawa ada asas yang kuat dalam aduan yang dikemukakan kepada UK NCP.

“Nube dan Uni Global Union akan memberikan kerjasama susulan kepada UK NCP, oleh itu, kami optimis bahawa keputusan positif dan membina akan dicapai demi kepentingan terbaik ahli-ahli Nube dan para pekerja bank di Malaysia,” tambahnya.

Solomon berkata organisasinya terpaksa membawa isu kepada perhatian UK NCP kerana pihak berkuasa tempatan gagal mencari penyelesaian membina sejak bertahun-tahun lamanya.

“Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia telah gagal membantu mencari penyelesaian konstruktif terhadap isu-isu yang telah dibangkitkan sejak beberapa tahun lalu.

“Nube berterima kasih atas sokongan padu yang diberikan oleh Uni Global Union dan pertimbangan sewajarnya yang telah diberikan oleh UK NCP dalam menyiasat aduan kami, dan keputusannya untuk meneruskan tindakan bagi mencari penyelesaian.”

Pada Julai lepas, Nube membuat 93 laporan polis terhadap Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia Stuart Milne atas keputusannya membuang pekerja ketika pandemik.

Dalam maklum balas, HSBC berkata ia sedang melakukan pembaharuan dalaman bank yang akan melibatkan pembentukan lebih 200 penjawatan baharu bagi memenuhi perkembangan industri perbankan.

Ini termasuklah memindahkan kakitangan sedia ada kepada jawatan dan peranan baharu.

Dalam usaha menggerakkan pembaharuan itu, HSBC berkata ia menawarkan skim pemisahan sukarela kepada beberapa kumpulan kakitangan sekiranya proses penukaran peranan dan jawatan tidak dapat dilakukan. – 19 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen