Pejuang tiada perjanjian dengan Putrajaya, kata Dr Mahathir


Pejuang akan kekal bebas dan melakukan semak imbang kepada kerajaan, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2021.

DR Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan pendirian Pejuang untuk kekal bebas daripada kerajaan dengan tidak menandatangani sebarang perjanjian dengan Putrajaya.

Bekas perdana menteri itu berkata Pejuang akan terus kekal sebagai pembangkang dan menjalankan peranan semak imbang kepada kerajaan.

“Pejuang telah buat keputusan untuk tidak terlibat (dengan kerajaan). Kami akan jadi bebas dan terus menjadi pembangkang.

“Kami percaya perlu adanya kebebasan untuk pembangkang bagi semak imbang kerajaan,” katanya kepada wartawan di Langkawi, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan Dr Mahathir ketika mengulas gesaan veteran DAP Lim Kit Siang supaya Warisan, Pejuang dan Muda menyokong dan menandatangani memorandum persefahaman dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Lim, ini bagi membolehkan kestabilan politik dicapai dan krisis ekonomi dan kesihatan yang melanda negara sekarang diatasi.

Dr Mahathir, bagaimanapun, berkata yang Pejuang tidak pernah dijemput untuk membincangkan sebarang MoU.

“Kecuali kita ada kerajaan perpaduan maka ia (MoU) bukanlah perjanjian. Nampaknya jika kita terlibat (dalam MoU) kita akan dapat balasan sesuatu…

“Ini tidak betul sebab wujud unsur rasuah di situ.”

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata Pejuang tidak terikat dengan sebarang kerjasama politik.

“Kami tidak terikat dengan mana-mana parti. Kami boleh berbincang dengan mereka (parti lain). Tetapi tak semestinya kami perlu mengikat diri kami dengan mereka.”

Pada 13 September lepas, kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) menandatangani MoU untuk kestabilan dan transformasi politik.

Ismail Sabri berkata MoU itu akan membentuk pendekatan dwi-partisan politik yang lebih ampuh.

“Ini selaras dengan titah diraja Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah’s di Parlimen hari ini,” katanya.

Menurutnya, MoU itu meliputi enam bidang keutamaan iaitu pengukuhan pelan Covid-19, pembaharuan institusi, reformasi Parlimen, kebebasan kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 dan pembentukan jawatankuasa penyelaras.

Jawatankuasa pemandu itu disertai 10 orang ahli yang akan menyelia pelaksanaan MoU dan terdiri daripada gabungan seimbang wakil kerajaan dan pembangkang. – 18 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen