Guna duit sendiri bantu pengundi, Anwar beritahu wakil rakyat


Presiden PKR Anwar Ibrahim menasihati wakil rakyat pembangkang agar tidak mengharap dana daripada kerajaan semata-mata untuk membantu kawasan masing-masing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September 2021.

WAKIL rakyat Pakatan Harapan (PH) perlu bersedia menggunakan duit sendiri bagi membantu kawasan masing-masing dan bukan hanya menunggu dana kerajaan, kata Anwar Ibrahim.

Pemimpin pembangkang itu berkata terdapat banyak pengundi yang bergelut akibat pandemik Covid-19.

“Perkara ini sudah saya tegaskan berkali-kali kepada semua Ahli Parlimen dan ADUN di negeri-negeri, selain sumbangan yang diterima daripada kerajaan, setiap daripada mereka mesti dan wajib keluarkan dana peribadi untuk bantu rakyat yang susah.

“Bukan sahaja berupaya guna duit kerajaan atau minta derma (untuk bantu rakyat), tetapi mereka harus tunjuk teladan yang baik dengan bantu rakyat guna duit poket mereka sendiri,” katanya seperti dilaporkan dalam portal berita hari ini ketika melancarkan Jelajah Peduli Nadi Rakyat oleh PKR hari ini.

Presiden PKR berkata tugas ahli politik bukan saja membawa usul dan mengemukakan dasar serta memberi teguran tetapi perlu memenuhi keperluan rakyat.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan masalah dihadapi rakyat mendorong PH menandatangani Memorudum Persefahaman (MoU) dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Suntikan dana khas bagi keluarga B40 dan M40 yang terkesan dengan Covid-19 harus dipertimbangkan. Perkara ini juga yang saya tekankan ketika menandatangani memorandum persefahaman dengan perdana baru-baru ini,” kata Anwar.

Pada 13 Sept, Putrajaya dan pembangkang menandatangani MoU untuk kestabilan dan transformasi politik.

Perdana menteri berkata MoU akan membentuk pendekatan bipartisan yang lebih kukuh terhadap politik.

“Ini sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Parlimen hari ini,” katanya dalam satu kenyataan. – 17 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen