Mara batal kenaikan bayaran pinjaman kepada RM700, kata menteri


Nabihah Hamid

Pelajar yang membaut pinjaman pendidikan Mara diselubungi keresahan selepas tersebar satu paparan skrin yang mengatakan pelajar perlu membayar pinjaman RM700 berbanding RM100 seperti perjanjian asal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2018.

MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Ismail Sabri Yaakob berkata Majlis Amanah Rakyat (Mara) telahpun membatalkan rancangan untuk menaikkan kadar pembayaran balik pinjaman pendidikan dari RM100 kepada RM700.

“Sudah dibatalkan. Bayar seperti yang lama,” kata Ismail ketika diminta untuk menjelaskan perkara itu oleh The Malaysian Insight petang ini.

Terdahulu, beliau berkata cadangan tersebut belum lagi diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Mara.

“Tiada rombakan (kenaikan), kekal (pembayaran). Hanya cadangan di peringkat pegawai. Belum pun dibawa dan diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Mara,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

MARA turut menafikan kenaikan bayaran tersebut dalam satu kenyataan di Twitter hari ini.

“MARA menafikan dakwaan kenaikan mendadak bayaran balik pinjaman pelajaran Mara yang dikatakan meningkat dari RM100 ke RM700 sebagaimana yang tersebar di media sosial,”

Isu berkenaan tular di media sosial apabila aduan oleh seorang graduan yang meminjam dana pendidikan Mara dikongsi di Twitter oleh Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pelajar tersebut mengadu bahawa bahawa beliau perlu membayar pinjaman RM700 sebulan kepada Mara, lebih tinggi berbanding kadar RM100 seperti perjanjian asal.

Sementara itu, seorang lagi graduan yang merupakan peminjam Mara mengesahkan kepada kepada The Malaysian Insight bahawa kenaikan itu benar-benar berlaku.

Katanya, beliau telah diberitahu pegawai bertugas bahawa mereka perlu membayar ansuran pinjaman sebanyak RM700 sebulan.

Bagaimanapun, selepas isu pembayaran tular di media sosial, Mara mengambil keputusan untuk menyemak semula pelan tersebut, katanya.

“Cara Mara mengeluarkan notis penafian seperti menyalahkan pelajar, tetapi kalau kami dapat dari laman web e-Baki dan dari pegawai Mara.

“Bukan salah kami sebab itu sahaja berita kami dapat dari pihak Mara,” kata graduan pengajian bisnes itu.

Dalam kenyataan di media sosial hari ini, Mara turut menjelaskan bahawa pelajar perlu memohon  untuk mengurangkan pembayaran pinjaman dengan melalui beberapa prosedur.

“Untuk makluman, seramai 3,514 orang pelajar yang baru tamat pengajian telah menerima jadual bayaran balik pinjaman sebelum diberi pengurangan, di mana pelajar perlu memohon untuk mendapat keistimewaan ini.

“Oleh yang demikian, jadual bayaran balik selepas pengurangan akan dikeluarkan setelah pelajar-pelajar memohon pengurangan bayaran balik dengan memuat naik transkrip secara atas talian melalui pautan e-Baki di portal Mara,” kenyataan itu dipetik.

Mara turut menegaskan bahawa agensi itu sentiasa berusaha meringankan bebanan bayaran balik pinjaman.

“Sebagai contoh, jumlah pembiayaan penuh bagi seorang pelajar perubatan adalah sebanyak RM1 juta dan selepas pengurangan, pelajar hanya perlu membayar balik sebanyak RM150,000 saja.

“Pinjaman pelajaran Mara merupakan pinjaman boleh ubah dan tertakluk kepada terma dan syarat yang berkuatkuasa dari semasa ke semasa,” kenyataan itu dipetik.  – 23 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen