Kerakyatan anak wanita Malaysia lahir luar negara bukan automatik, kata Hamzah


Malaysia tidak memberi taraf kewarganegaraan bagi anak berumur bawah 21 tahun yang dilahirkan wanita tempatan yang berkahwin dengan warga asing secara automatik, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2021.

TARAF kewarganegaraan bagi anak berumur bawah 21 tahun yang dilahirkan oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak diberi secara automatik, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Permohonan memperoleh kewarganegaraan di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan juga mengambil kira dasar kerajaan yang tidak mengiktiraf dwi-kewarganegaraan, tambahnya.

“Setiap permohonan kewarganegaraan yang diterima oleh Kementerian (Dalam Negeri) akan diproses dengan teliti secara case-by-case dalam memastikan setiap permohonan berkenaan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan serta perundangan lain yang berkuatkuasa,” katanya.

Menurutnya, permohona tertakluk kepada pematuhan syarat dalam Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 serta perundangan berkaitan yang berkuatkuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen. 

Hamzah berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Merbok Nor Azrina Surip berkenaan mengapa permohonan anak-anak warganegara yang dilahirkan di luar negara daripada wanita warganegara Malaysia ditolak secara rutin oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Permohonan kewarganegaraan dikemukakan secara berasingan dengan kandungan maklumat dan dokumen sokongan yang berbeza-beza, maka hasil penilaian dan pertimbangan juga adalah berbeza mengikut keperluan, bukti dan fakta kes berdasarkan maklumat yang diberikan. 

“Sukacita diingatkan bahawa syarat-syarat yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan hanya melayakkan permohonan dikemukakan tetapi tidak menjamin bahawa permohonan akan diluluskan,” katanya.

Beliau seterusnya menegaskan penganugerahan kewarganegaraan Malaysia merupakan anugerah tertinggi dan hak eksklusif kerajaan Persekutuan yang tidak ditawarkan dan diberikan dengan sewenang-wenangnya.

Mahkamah Tinggi pada 9 September membenarkan kewarganegaraan automatik diberikan kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Hakim Akhtar Tahir memutuskan perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu bermaksud dan termasuk ibu.

Bagaimanapun, Putrajaya pada Selasa memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat rina Harun semalam dipetik Bernama berkata prosedur dan syarat permohonan kewarganegaraan anak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing perlulah sama seperti anak kepada warganegara lelaki Malaysia yang dilahirkan di luar negara dengan pasangan bukan rakyat Malaysia. – 16 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen