Bersatu tolak Ahmad Maslan calon timbalan speaker, kata sumber


The Malaysian Insight

Bersatu tolak pencalonan Ahmad Maslan sebagai timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat kerana mempertahankan pendirian parti tidak mendukung pemimpin yang integritinya diragui. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2021.

BERSATU menolak pencalonan Ahmad Maslan sebagai timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat kerana mempertahankan pendirian parti tidak mendukung pemimpin yang integritinya diragui, kata sumber parti.

Ahli Parlimen Pontian itu yang juga setiausaha agung Umno, dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan berhubung wang RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak, dipercayai hasil aktiviti menyalahi undang-undang.

“Semua ahli parlimen Bersatu tolak Ahmad Maslan sebab kes mahkamah,” kata sumber, yang juga ahli Parlimen parti itu, kepada The Malaysian Insight.

Seorang lagi sumber Perikatan Nasional (PN) memberitahu Ahmad tidak akan dapat undi penuh semua ahli Parlimen kerajaan sekiranya ada pemilihan jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat.

“Pendirian Bersatu dimaklumkan sendiri oleh pucuk pimpinan parti kepada Ahmad,” kata sumber.

Sumber bagaimanapun menegaskan Bersatu menolak hanya pencalonan Ahmad sebagai timbalan speaker tetapi teguh menyokong pentadbiran Ismail Sabri Yaakob yang menggantikan presiden parti Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Satu kerusi timbalan speaker Dewan Rakyat kosong selepas Azalina Othman Said letak jawatan pada hujung Ogos. Beliau memberikan tiga alasan yang menyentuh soal moral dan integriti, serta kewibawaan institusi.

Bersatu mempunyai 31 ahli Parlimen, yang tanpa sokongan mereka sukar untuk Ahmad menang. Beliau dijangka bersaing calon Pakatan Harapan yang juga bekas timbalan speaker dan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming.

Setakat awal Isnin, beberapa ahli Parlimen Bersatu memberitahu media tiada arahan kepada mereka untuk tidak menyokong pencalonan Ahmad sebagai timbalan speaker.

Beberapa pemimpin pembangkang sebelum ini mempertikaikan pencalonan ahli Parlimen Pontian dan menggesa ahli Parlimen terutamanya wakil Bersatu supaya mengotakan pendirian menolak pemimpin yang mereka istilahkan sebagai “kluster mahkamah”.

Ahmad berdepan tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta yang beliau terima daripada Najib. Beliau juga didakwa kerana memberi pernyataan palsu kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan.

Kesnya ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jun 2022.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi mendakwa ahli Parlimen Bersatu dan empat bebas menolak pencalonan Ahmad dan ahli Parlimen Pontian itu mangsa permainan politik mereka.

Semalam, kerajaan mengusulkan pemilihan itu tangguh sehingga pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menambah satu lagi kerusi timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, menjadi tiga.

Pindaan itu juga akan mensyaratkan satu kerusi khusus untuk wakil rakyat pembangkang, kata menteri undang-undang dan Parlimen Wan Junaidi Tuanku Jaafar, semalam.

Usul penangguhan itu diluluskan secara undian suara apabila lebih suara bersetuju. – 15 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen