Faizal Azumu dibayar RM27,000 sebagai penasihat khas Muhyiddin


AHMAD Faizal Azumu dibayar gaji RM27,227.20 sebulan sebagai penasihat khas bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, demikian pendedahan yang dibuat di Dewan Rakyat semalam.

Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengatakan bahawa Ahmad Faizal dibayar secara pro-rata memandangkan tempoh perkhidmatan yang singkat.

“Memandangkan tempoh perkhidmatan beliau adalah singkat (tidak cukup sebulan), gaji sebulan beliau yang berjumlah RM27,227.20 dibayar secara pro-rata, dan juga gantian notis penamatan perkhidmatan sebanyak 1 bulan gaji.

“Jawatan ini tidak melibatkan pembayaran pencen,” menurut jawapan bertulis berkenaan.

Pada 5 Ogos, Azumu yang merupakan timbalan presiden Bersatu dilantik sebagai penasihat khas Muhyiddin bermenteri.

Pada masa itu, Muhyiddin mengatakan bekas menteri besar Perak itu akan menasihati perdana menteri mengenai perkara-perkara berkaitan dengan urusan masyarakat dan pembangunan sosio-ekonomi.

Perkhidmatan Ahmad Faizal hanya dalam tempoh selama 11 hari apabila Muhyiddin dan Kabinetnya meletak jawatan pada 16 Ogos selepas hilang sokongan majoriti.

Semasa menjadi penasihat khas, Ahmad Faizal diamanahkan untuk mewujudkan jalinan kerjasama yang erat antara Kerajaan dan pimpinan masyarakat serta meningkatkan kefahaman rakyat mengenai dasar-dasar kerajaan menerusi saluran komunikasi yang berkesan dan meningkatkan sistem penyampaian Kerajaan dalam aspek pembangunan sosio-ekonomi rakyat.

Ahmad Faizal kini menjadi menteri belia dan sukan dalam kerajaan Ismail Sabri. – 15 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen