Tarik balik rayuan keputusan mahkamah berkenaan status kerakyatan, gesa Yeoh


Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu buktikan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan bukan omong kosong.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2021.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob mesti segera mengarahkan Peguam Negara Idrus Harun untuk menarik balik keputusan mengemukakan rayuan keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan hak ibu mendapat kewarganegaraan untuk anak yang lahir di luar negara, kata Hannah Yeoh.

Ahli Parlimen Segambut itu berkata sekiranya Ismail Sabri gagal berbuat demikian maka konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan perdana menteri hanyalah omong kosong.

“Saya menyeru perdana menteri supaya segera mengarahkan peguam negara untuk menarik balik keputusan mengemukakan rayuan serta memastikan Kementerian Dalam Negeri menghormati dan melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi. 

“Episod ini sahaja sudah cukup menggambarkan terdapat begitu banyak keputusan yang tidak konsisten dalam Kabinet beliau dan kelemahan yang paling ketara adalah kegagalan kerajaan ini melindungi wanita dan kanak-kanak.

“Konsep keluarga besar Malaysia perdana menteri kini sedang diuji dan tercemar dengan keputusan yang tidak masuk akal dan kejam oleh peguam negara sehingga menimbulkan kesengsaraan dan kekecewaan kepada ramai ibu dan keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan berita bahawa kerajaan melalui Pejabat Peguam Negara akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 September yang membenarkan kewarganegaraan automatik diberikan kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Hakim Akhtar Tahir memutuskan perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu bermaksud dan termasuk ibu.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu selepas membenarkan saman pemula Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing bagi membolehkan bayi mereka yang dilahirkan di luar negara mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Melalui saman pemula yang difailkan pada 18 Disember tahun lepas, mereka memohon enam perintah mahkamah termasuk deklarasi bahawa Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan Perkara 8 (2) bagi memasukkan ibu rakyat Malaysia sebagai syarat untuk bayi yang dilahirkan di luar negara diberikan kerakyatan Malaysia secara automatik. – 14 September, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen