Anwar kata Mazlan belum serah '6,000 surat' dalam kes saman fitnah


Muzliza Mustafa

MAHKAMAH diberitahu hari ini, ahli politik Umno, Mazlan Ismail belum mengemukakan ribuan surat yang didakwanya dapat mengaitkan mendiang Karpal Singh dan Anwar Ibrahim dengan rasuah.

“Pejabat PKR, pejabat saya dan pejabat Karpal tidak menerima sebarang surat. Karpal dan saya tidak menerima apa-apa maklumat (surat) yang dihantarkannya (Mazlan) ke pejabat kami. Sehingga hari ini dia tidak menyerahkan sebarang surat,” kata Anwar, menjawab soalan daripada peguamnya, Sangeet Kaur Deo semasa pendengaran saman fitnahnya terhadap Mazlan, Sistem Televisyen Malaysia (TV3) dan Utusan Melayu (M) Bhd.

Mazlan adalah ketua pegawai operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan bekas calon Barisan Nasional (BN) untuk Permatang Pauh.

Anwar menyaman ketiga-tiga pihak itu kerana fitnah berhubung laporan TV3 dan Utusan mengenai dakwaan Mazlan bahawa terdapat lebih 6,000 surat mengaitkan Anwar dan Karpal dengan rasuah yang berada dalam simpanannya.

“Seseorang perlu bertanggungjawab terhadap kata-kata yang dikeluarkan. Walaupun media terus merumuskan apa yang dikatakannya, mereka perlu menggunakan kata-kata Mazlan yang digunakan. Inilah yang ingin kita tentukan (untuk menunjukkan) sama ada apa yang anak guam saya katakan adalah fitnah,” kata peguam Mazlan, Hasnal Rezua Merican selepas mahkamah menangguhkan sesi.

“Surat-surat itu mengandungi maklumat fitnah tetapi anak guam saya mengatakan dia tidak boleh memberi komen kerana tertakluk kepada Bafia dan dia akan membiarkan Anwar dan Karpal menjelaskan (peranan mereka di dalamnya).”

Ketua DAP Karpal Singh terbunuh dalam kemalangan jalan raya pada April 2014.

Dalam laporan berita yang diterbitkan pada 2013, Mazlan memberitahu media beliau tidak boleh memberi ulasan mengenai isi surat itu kerana tertakluk kepada Akta Perbankan & Institusi Kewangan, 1989 (Bafia).

Sesi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berakhir pada tengah hari kerana temujanji fisioterapi harian Anwar.

Perbicaraan akan berakhir pada Khamis selepas Anwar, TV3 dan Utusan memberi keterangan.

Berlaku ketegangan di mahkamah pada awal apabila penyokong Anwar menuntut untuk mengetahui mengapa mereka tidak dibenarkan duduk di barisan pertama.

“Ada makan dedak ke? Ini ruang awam, kenapa kami tidak dibenarkan duduk di sini?” kata salah seorang penyokong.

Kumpulan itu bertenang selepas penyelia mahkamah memberitahu mereka agar menghormati dan bertanggungjawab, serta meminta semua yang hadir bertenang kerana sesi perbicaraan akan bermula.

Anwar tahun lalu memfailkan saman terhadap Mazlan, TV3 dan Utusan.

Dia mendakwa Mazlan menyebabkan TV3 dan Utusan Malaysia menyiarkan berita yang memfitnahnya pada 2013.

Anwar menyaman untuk mendapatkan pampasan dan injunksi bagi menghentikan defendan daripada mengulangi atau menayangkan dakwaan yang memfitnah. – 22 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen