DAP sokong Azalina speaker baharu tetapi dengan waspada, kata Guan Eng


Azalina Othman Said pada 24 Ogos mengesahkan letak jawatan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat dan menyebut antara lain isu moral dan integriti sebagai alasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2021.

DAP menyokong tetapi dengan waspada usaha menamakan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang baharu untuk menggantikan Azhar Azizan Harun, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha agung DAP berkata usaha itu perlu susulan kegagalan Azhar mempertahankan kedaulatan Parlimen dan keingkarannya terhadap titah Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen bersidang semasa darurat.

“Walaupun Azalina memperjuangkan pembaharuan institusi untuk Parlimen supaya ia berperanan dengan betul dan wajar mengikut Perlembagaan Persekutuan demi memastikan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang berkesan, DAP mahu mendapatkan pandangannya bagaimana beliau berlainan daripada Azhar sebagai speaker.

“Parlimen bawah Azhar dilihat sudah dimandulkan daripada sebuah mercu demokrasi menjadi hanya sebuah jabatan eksekutif bawah perdana menteri sebelum ini yang diatur terutamanya untuk mengekalkan kuasa, khususnya selepas beliau hilang majoriti di Parlimen,” kata Lim.

Kenyataan Lim dibuat susulan laporan Malaysiakini yang memetik sumber bahawa Umno merancang mencalonkan Azalina, yang juga bekas timbalan speaker, untuk menggantikan Azhar.

Azalina pada 24 Ogos mengesahkan letak jawatan dan menyebut antara lain isu moral dan integriti sebagai alasan.

Minggu lalu, Azhar dalam satu kenyataan menjelaskan tidak mengendalikan usul yang dibuat terhadapnya sebaliknya ia diuruskan oleh timbalannya Mohd Rashid Hasnon.

Menurut Lim, sekiranya Parlimen boleh membuat semak dan imbang serta bersidang semasa darurat, jawapan mungkin dapat diberikan mengenai Covid-19 dan krisis ekonomi yang dapat mengurangkan kenaikan rekod tertinggi jangkitan dan kematian.

“Parlimen tidak boleh terus hilang atau bergerak dalam vakum politik dengan speaker terus memainkan peranan untuk hanya patuh dan bersetuju semata-mata bagi mempertahankan perdana menteri,” katanya.

Lim mendedahkan timbalan pengerusi DAP Gobind Singh Deo bertemu dengan Azalina, yang ingin membincangkan cadangannya mengenai pilihan raya pecat atau recall election sebagai sebahagian daripada pakej rang undang-undang anti lompat parti. 

DAP bersedia untuk berbincang lebih lanjut jika ahli Parlimen Pengerang sedia mengemukakan namanya sebagai calon pengganti Azhar untuk mengembalikan nama baik Parlimen, katanya.

“Azalina perlu menyusun rancangannya tentang bagaimana untuk mengelakkan Parlimen menjadi sekadar ‘rubber-stamp’ kepada perdana menteri semata-mata dan mengangkat ketinggian Parlimen seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan negara. 

“Rakyat mahu Parlimen menjadi institusi demokrasi utama yang memberikan perbezaan positif dalam kehidupan rakyat Malaysia,” kata Lim.

Dalam pada itu, DAP setuju dengan cadangan Azalina agar seorang wakil rakyat pembangkang dinamakan sebagai timbalan speaker yang baharu mengisi kekosongan susulan peletakan jawatannya.

Lim berkata Pakatan Harapan mencadangkan bekas timbalan speaker Nga Kor Ming, yang juga ahli Parlimen Teluk Intan. – 6 September, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen