Adly Zahari dilantik naib presiden Amanah


Adly dilantik berikutan peletakan jawatan Husam Musa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2021.

PENGERUSI Amanah Melaka Adly Zahari dilantik naib presiden Amanah, menggantikan Husam Musa yang meletak jawatan September tahun lalu, umum presiden parti Mohamad Sabu.

“Pelantikan Adly selaras dengan aspirasi Amanah untuk menampilkan lebih ramai pemimpin pelapis bagi menerajui kepimpinan parti dan negara di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Adly, 50, bekas ketua menteri Melaka, sebelum ini memegang jawatan bendahari Amanah.

Kekosongan jawatan bendahari kini diisi Izham Hashim, 59, yang juga pengerusi Amanah Selangor.

“Kami yakin pelantikan ini akan mengukuhkan lagi imej Parti Amanah Negara sebagai parti yang membawa mesej ‘rahmatan lil aalamin’ dalam kalangan masyarakat,” kata Mohamad.

Husam meletak jawatan naib presiden Amanah pada September 2020 dengan alasan mahu memberi tumpuan kepada usaha memenangkan Amanah di Kelantan, kata pengarah komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad.

Khalid ketika itu menafikan laporan media yang menggambarkan Husam meletak jawatan sebagai protes kepada kepimpinan Amanah.

Katanya, laporan berkenaan tidak berasas. – 5 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen